SPRM rayu keputusan mahkamah tolak larangan akses dana RM548 juta milik Na'imah, anak dan tujuh pihak lain

SPRM rayu keputusan mahkamah tolak larangan akses dana RM548 juta milik Na'imah, anak dan tujuh pihak lain

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan penolakan perintah larangan akses dana bernilai RM548 juta didakwa dimiliki isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya serta tujuh pihak lain di beberapa akaun bank Singapura.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini yang menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan akses terhadap wang pelaburan berkenaan.

“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, SPRM akan memfailkan notis rayuan dalam masa terdekat.

“Perkara ini sudah dibawa kepada perhatian Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini media melaporkan, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mewakili kerajaan bagi mendapatkan perintah larangan akses terhadap aset bernilai RM548 juta didakwa dimiliki isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya serta tujuh pihak lain di beberapa akaun bank Singapura.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan selaku pemohon gagal memenuhi peruntukkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat hadir bagi pihak pendakwaan manakala Na’imah, anaknya dan tujuh pihak itu diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Pada 19 Jun lalu, SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan GBP21 juta (kira-kira RM 121 juta) dan AS$99 juta (kira-kira RM423 juta) di Singapura.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top