Polis rampas 347 tan sisa elektronik bernilai RM1.25 juta

Polis rampas 347 tan sisa elektronik bernilai RM1.25 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegiatan dua premis memproses sisa elektronik di Kuala Langat, Selangor dibongkar polis dalam Op Hazard, semalam yang membawa kepada rampasan 347 tan sisa elektronik dan peralatan pemprosesan kegiatan itu dianggarkan bernilai RM1.25 juta.

Operasi itu dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) hasil risikan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sepang bermula jam 11 pagi.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pihaknya menjalankan dua serbuan serentak di lokasi berasingan membabitkan setor dan premis aktiviti memproses sisa elektronik.

Katanya, susulan itu, seramai 24 lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan.

“Rampasan membabitkan 347,000 kilogram sisa elektronik yang sudah dileraikan dan lima unit compressor, satu unit dust collector, satu jumbo barangan runcit pelbagai, empat unit tong gas dan satu unit penimbang.

“Selain itu, turut dirampas dua unit mesin cucian water recycle melerai dan mengasing SW110, dua unit oven, satu unit alat kawalan pencemaran udara (beg filter) serta satu unit cerobong chimney,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,256,100 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 38(1)(a) akta sama membabitkan penahanan operasi selama 14 hari.

“Majlis Perbandaran Kuala Langat mengeluarkan kompaun RM1,000 serta notis pemberhentian perniagaan bagi kesalahan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melancarkan 158 serbuan di seluruh negara dengan 335 individu ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 1 Januari hingga hari ini.

Katanya, ia membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barang kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top