JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid menafikan dakwaan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad bahawa dirinya terlibat dalam isu salah laku sepanjang memegang jawatan berkempen.
Mohd. Fared berkata, dakwaan dibuat Mohd. Puad itu merupakan satu tohmahan berniat jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab terhadap dirinya.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Saya langsung tidak terlibat dalam sebarang siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebaliknya saya telah melepasi saringan SPRM sebelum dipilih semula bertanding sebagai calon Semerah pada pilihan raya negeri yang lalu.
“Sehubungan itu, saya memberi tempoh 24 jam kepada beliau untuk menarik balik tohmahan tersebut dan membuat permohonan maaf. Jika tidak, satu saman fitnah akan saya mulakan bagi membersihkan nama baik saya daripada tohmahan jahat dan fitnah tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Puad mendakwa Mohd. Fared terlibat dalam siasatan SPRM berhubung isu tatakelola dan kronisme melibatkan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Tambah Mohd. Fared, permohonan maaf tersebut hendaklah dibuat secara rasmi dalam semua platform media agar dapat dibaca dan difahami oleh orang awam akan niat dan maksudnya.
“Saya amat yakin dan percaya atas wibawa dalam diri Datuk Mohd. Puad, perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh ukhwah. Biarlah ia menjadi contoh terbaik sekalipun usia mungkin membezakan kita, agar adab dan akhlak sebagai umat Islam dapat diperlihatkan,” katanya.-UTUSAN




