Exco Selangor pula terima ugutan video lucah

Exco Selangor pula terima ugutan video lucah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi menjadi mangsa terbaharu pemerasan siber yang membabitkan kandungan pornografi dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu berkata, dua hari lalu, beliau menerima e-mel berbaur ugutan daripada satu akaun tidak dikenali yang memaparkan tangkap layar video yang disunting menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan memaparkan gambar wajahnya.

Menurutnya, dalam e-mel itu, beliau turut diugut supaya membayar wang sebanyak AS$100,000 sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video.

“Saya ingin menegaskan bahawa ugutan seumpama ini adalah satu perbuatan jenayah yang sangat serius serta bertujuan mengancam keselamatan dan menjatuhkan maruah saya.

“Justeru, saya telah membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar siasatan lanjut dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI serta cubaan menyebarkan fitnah menerusi penyebaran video pornografi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Najwan berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung ugutan di sebalik e-mel ini.

“Saya percaya dalang di sebalik ugutan ini mengguna pakai modus operandi yang sama seperti yang turut diterima Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, YB Wong Chen dan YB Mohammed Taufiq Johari.

“Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet.

Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Semalam, Rafizi berkata, beliau menjadi mangsa pemerasan berkaitan video seks.

Beliau menjelaskan menerima e-mel yang mengandungi klip yang didakwa menunjukkan beliau bersama seorang lelaki lain.

Rafizi berkata, video itu dipercayai klip lama yang disunting semula untuk menggodam peranti elektroniknya dan melancarkan kempen fitnah.

Katanya, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memaklumkan kepadanya bahawa beliau turut menerima e-mel ugutan yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top