Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini dianggarkan memberi impak limpahan lebih RM345 juta kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Acara berkenaan berjaya menarik 261,000 penonton, dengan hampir separuh daripadanya dijangka terdiri daripada pelancong asing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, impak positif itu mencerminkan peranan penting acara sukan antarabangsa berskala besar dalam merangsang aktiviti ekonomi negara.
“Impak positif ini mencerminkan peranan penting acara sukan antarabangsa berskala besar dalam merangsang aktiviti ekonomi, khususnya melalui peningkatan perbelanjaan pelancongan dan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini.

Beliau berkata, limpahan ekonomi itu terutama dirasai PMKS yang beroperasi dalam sektor penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hiburan, perkhidmatan berkaitan pelancongan serta pelbagai aktiviti sokongan lain.
Menurutnya, penonton yang menghadiri acara F1 berkenaan diunjurkan berbelanja 2.17 kali ganda lebih tinggi berbanding acara biasa, sekali gus membuka ruang lebih besar kepada PMKS untuk meraih manfaat ekonomi.

Ujarnya, pelancong asing pula lazimnya berbelanja lebih tinggi mengambil kira tempoh penginapan yang lebih lama selain perbelanjaan untuk penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti membeli-belah serta pengalaman riadah.
“Berdasarkan kejayaan dan kesan limpahan yang diperoleh, Malaysia boleh memanfaatkan acara sukan antarabangsa seperti F1 sebagai platform untuk membolehkan PMKS meraih peluang dan akses pasaran yang lebih meluas.
“Ia juga dapat meningkatkan penyertaan PMKS dalam rantaian nilai berkaitan pelancongan, hospitaliti dan penganjuran acara,” ujarnya.

Sim berkata, usaha berkenaan termasuk memperkukuh hubungan antara PMKS dengan pemain industri lebih besar, penganjur acara, pengusaha pelancongan dan pembekal tempatan supaya manfaat ekonomi daripada acara berskala besar dapat dinikmati lebih ramai peniaga kecil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, penglibatan PMKS dalam penganjuran acara sukan antarabangsa seperti F1 turut menyokong agenda pembangunan perusahaan itu dalam jangka panjang.




