Facebook kembali pulih selepas alami gangguan akses

Facebook kembali pulih selepas alami gangguan akses

Kuala Lumpur: Platform media sosial Facebook kini kembali pulih dan boleh diakses sepenuhnya selepas mengalami gangguan perkhidmatan petang tadi.

Semakan Bernama mendapati aplikasi itu kini beroperasi seperti biasa menerusi mana-mana peranti termasuk komputer, membolehkan pengguna log masuk serta menggunakan fungsi utama platform berkenaan tanpa sebarang gangguan.

Seorang pengguna @MadameSeniorita meluahkan rasa lega selepas mendapati Facebook boleh diakses kembali serta berkongsi perkembangan itu menerusi platform media sosial lain.

“Facebook is back!!! YEHEY!!!” (Facebook kembali pulih!!! YEHEY!!!), menurutnya menerusi hantaran di aplikasi X.

Sementara itu, The Mirror, sebuah portal berita dan akhbar tabloid di United Kingdom, menerusi hantaran di Facebook turut memaklumkan platform itu sudah kembali pulih.

“Facebook is back” (Facebook kembali pulih), menurut hantaran berkenaan.

Terdahulu, Facebook dilaporkan mengalami gangguan teknikal menyebabkan pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia, berdepan kesukaran mengakses akaun, memuat naik foto dan video serta menghantar mesej menerusi aplikasi Messenger.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top