Gegantung papar ayat berbaur lucah sekitar Kuala Terengganu sudah diturunkan

Gegantung papar ayat berbaur lucah sekitar Kuala Terengganu sudah diturunkan

Kuala Terengganu: Gegantung iklan memaparkan ayat berbaur lucah sekitar bandar raya ini seperti yang tular di laman sosial sejak semalam telah diturunkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

Beliau berkata, semakan mendapati permit bagi gegantung itu diluluskan berdasarkan bahan yang dikemukakan ketika permohonan namun diubah suai sebelum dipasang di tempat awam di sekitar Kuala Terengganu.

Susulan itu, Wan Sukairi berkata, pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah menghubungi pihak berkaitan dan mengarahkan agar gegantung iklan itu diturunkan dengan kadar segera.

“Saya menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung pemasangan iklan mengandungi ayat yang kurang bermoral dan tidak sesuai dipaparkan di tempat awam.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan tindakan segera telah diambil oleh pihak MBKT sebaik sahaja aduan diterima,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mengesahkan iklan itu diturunkan sepenuhnya dan tidak lagi dipamerkan.

Wan Sukairi juga berkata, kelulusan permit adalah tertakluk kepada terma serta syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top