NIBONG TEBAL : Inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menawarkan pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran mendapat sokongan penuh daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, inisiatif yang digerakkan oleh komuniti itu sedikit sebanyak memberi keringanan kepada ibu bapa dalam menyediakan pakaian sekolah untuk anak mereka khususnya pada setiap awal sesi persekolahan.
“Saya sebagai Ahli Parlimen merasakan bahawa ini antara program atau projek yang sangat baik untuk rakyat dan saya berhasrat untuk memberikan komitmen saya untuk projek itu bagi persiapan (persekolahan) tahun hadapan, insya-Allah.
“Semoga program ini akan menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan dalam menyampaikan aspirasi kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Program Madani Kita Bersama Komuniti Nibong Tebal di Simpang Ampat di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Bukhari Yahya.
Difahamkan, pakaian sekolah itu dijahit sendiri oleh kira-kira 200 alumni NADI Mahir Jahit yang telah mengikuti kursus kemahiran menerusi Perkhidmatan Pintar NADI dan kini berjaya melangkah sebagai usahawan.
Terdahulu, Fadhlina turut memuji pelaksanaan Program NADI Tuisyen Rakyat yang menyediakan bimbingan pembelajaran secara percuma kepada para pelajar.
Pada masa yang sama, beliau juga berpuas hati dengan langkah NADI menyediakan ruang kepada golongan muda untuk menyertai aktiviti e-Sukan menerusi inisiatif seperti NADI e-Sport.-UTUSAN




