Kilang Panasonic bakal tutup, kerajaan Selangor jumpa 400 pekerja minggu depan – Amirudin Shari

Kilang Panasonic bakal tutup, kerajaan Selangor jumpa 400 pekerja minggu depan – Amirudin Shari

Kerajaan Selangor akan mengadakan pertemuan dengan kira-kira 400 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd yang dijangka terjejas susulan penutupan operasi kilang berkenaan pada akhir Mac tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pertemuan itu akan dikendalikan EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu, bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), minggu depan.

“Minggu depan, Yang Berhormat Papparaidu akan berjumpa dengan kumpulan terbabit untuk mencari dan menawarkan sokongan yang diperlukan, terutama pada saat kemungkinan kilang mereka akan ditutup.
“Langkah intervensi awal seperti bantuan bakul makanan itu sudah semestinya kita akan buat tetapi juga (membantu) carikan pekerjaan untuk mereka supaya mereka boleh menyambung kehidupan yang telah dibina bertahun-tahun di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Mega Jobcare Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Mega Jobcare Selangor 2026 menghimpunkan 147 majikan dengan lebih 11,000 jawatan kosong, termasuk 62.2 peratus menawarkan gaji melebihi RM3,000 sebulan.

Karnival kerjaya anjuran bersama MYFutureJobs itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan berakhir esok, dengan menyasarkan peserta berusia 18 hingga 60 tahun.

Sebelum ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd mengumumkan penutupan operasi pengeluaran dua produknya yang dijangka memberi kesan kepada 400 pekerja.

Sementara itu, Papparaidu berkata kerjasama dengan PERKESO dapat membantu menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

“Perkara paling penting ialah PERKESO menyediakan perlindungan insurans dan sekiranya diberhentikan kerja serta tidak mempunyai pekerjaan, mereka akan menerima bayaran secara berperingkat seperti elaun mencari pekerjaan dengan bayaran sebanyak 80 peratus daripada gaji pada bulan pertama, 50 peratus bagi bulan kedua, dan seterusnya 30 peratus.
“Ini adalah produk baharu PERKESO bagi membantu orang ramai, khususnya rakyat Selangor yang bakal berdepan situasi pemberhentian kerja. Saya berharap kita dapat melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu ini,”ujar beliau.

Sumber: FMT 

Scroll to Top