Melaka: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini menziarahi keluarga pelajar yang meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan ragbi di sebuah sekolah di Telok Mas pada Rabu lalu.
Beliau menerusi perkongsian di laman Facebooknya berkata, kunjungan itu bagi mewakili seluruh warga Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa Allahyarham Muhammad Raiyan Nufael.
“Semoga roh Allahyarham anakanda Muhammad Raiyan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan keluarga terus diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua rebah sebelum meninggal dunia ketika mengikuti latihan ragbi di sebuah sekolah di Telok Mas, kira-kira 6 petang pada Rabu lalu.
Dalam kejadian itu, remaja berusia 14 tahun itu dilaporkan baru menjalani latihan selama kira-kira 15 minit sebelum mengalami sesak nafas ketika mendengar taklimat yang disampaikan jurulatih selepas sesi rehat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




