KADANGKALA kita tertanya-tanya, mengapakah orang baik sering diuji dalam kehidupan ini? Apakah ALLAH SWT tidak menyayangi mereka?
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkemuka, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud menjelaskan, persoalan tersebut bukanlah suatu yang asing bagi umat Islam, lebih-lebih lagi ada sebahagian daripada kita membandingkan dengan kehidupan orang bukan Islam yang lebih baik keadaannya.
“Sebahagian daripada kita mempersoalkan, mengapa dibebankan dengan ujian yang berat seperti sakit, kehilangan orang tersayang atau kesempitan hidup sedangkan kita telah berusaha menunaikan segala perintah ALLAH SWT seperti solat, puasa dan sebagainya?
“Hakikatnya, persoalan ini menuntut kita melihat ujian dengan kaca mata iman, bukanlah logik akal manusia semata-mata,” katanya pada program bual bicara sempena Karangkraf Ramadan Bookfest 2026 baru-baru ini.
Menurutnya, pengalaman beliau yang diuji dengan serangan strok pada Mac tahun lalu memberikan gambaran yang jelas tentang realiti kehidupan walaupun sebelum itu beliau dalam keadaan sihat.

USTAZ MOHAMAD ZARIFI
Ceritanya, beliau pada hari kejadian meneruskan rutin menyampaikan kuliah Subuh di surau berhampiran kediamannya dalam keadaan seperti biasa tanpa sebarang tanda salur darah pada otak sebelah kanannya akan pecah menyebabkan badan sebelah kirinya lumpuh.
“Situasi itu membuka ruang muhasabah bagi saya dan kita semua bahawa tiada siapa yang tahu bila ujian akan menimpa.
“Mungkin hari ini kita menziarahi orang sakit dan esok mungkin kita pula yang terlantar dan memerlukan doa orang lain,” pesannya.
Bukan tanda ALLAH benci
Dalam Islam, ujian bukan tanda kebencian ALLAH kepada para hamba-NYA, bahkan ia merupakan bukti kasih sayang-NYA, ujarnya.
“Kisah Nabi Ayub AS menjadi contoh yang agung dalam hal ini. Baginda dianugerahkan kekayaan dan keluarga yang besar serta kesihatan yang baik.
“Namun semuanya ditarik satu persatu apabila hartanya habis, anak-anak meninggal dunia dan akhirnya Baginda diuji dengan penyakit yang berpanjangan sehingga 18 tahun,” katanya.
Menariknya dalam keadaan yang begitu berat, Nabi Ayub AS tidak pernah mempersoalkan takdir ALLAH kepadanya, bahkan doanya sangat halus dan penuh beradab seperti dinukilkan dalam ayat ke-83 surah al-Anbiya’: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedangkan Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani’.”
Sambungnya lagi, Baginda AS tidak meminta secara langsung agar disembuhkan, tetapi mengakui kelemahan diri dan menyerahkan sepenuhnya kepada rahmat ALLAH.
“Inilah puncak tauhid, melihat ujian sebagai ruang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan,” jelasnya.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang khusyuk mendengar perkongsian ahli panel.
Ujian ikut kemampuan ALLAH SWT menegaskan dalam al-Quran bahawa DIA tidak akan membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya seperti direkodkan dalam ayat ke-286 surah al-Baqarah.
Ujar Ustaz Mohamad Zarifi, ia membawa maksud setiap ujian yang datang sebenarnya berada dalam lingkungan kemampuan untuk menghadapinya walaupun pada awalnya terasa mustahil.
“Dalam konteks penyakit seperti strok, usaha tetap perlu dilakukan seperti rawatan awal dan lanjutan, fisioterapi serta disiplin diri.
“Namun hakikat kesembuhan tetap berada di tangan ALLAH. Pakar perubatan dan pesakit hanya berusaha, tetapi yang memberikan kesembuhan hanyalah DIA Yang MAHA BERKUASA,” jelasnya.
Sabar dan solat kunci hadapi ujian
Al-Quran mengajarkan kita untuk mencari pertolongan melalui sabar dan solat, sambungnya.
“Ulama tafsir menjelaskan sabar itu termasuklah berpuasa yang merupakan satu bentuk latihan menahan diri dan mendidik jiwa.
“Selain itu, amalkan zikir seperti ‘La haula wala quwwata illa billah’ yang mengingatkan kita bahawa tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin ALLAH SWT.

TETAPLAH bersyukur dan bersabar ketika sedang diuji. Foto Canva
“Ia bukan sekadar lafaz, tetapi pengakuan penuh bahawa segala urusan berada di bawah kekuasaan-Nya,” jelasnya lagi.
Sebagai penutup, Ustaz Mohamad Zarifi menjelaskan, sifat seorang Mukmin yang unik iaitu apabila diberi nikmat, dia bersyukur dan apabila diuji, dia bersabar. “Kedua-dua sifat tersebut membawa pahala dan rahmat kepadanya,” ujarnya.



