Kuala Lumpur: Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tiada sebarang ucapan berunsur politik semasa Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berada dalam Masjid Nurul Yaqin, Kuang, Rawang, Selangor pada 2023.
Inspektor Muhammad Fiadhi Fadzil, 35, yang kini bertugas di Bahagian Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Pahang berkata seorang daripada ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan telah meminta Fahmi untuk menjelaskan mengenai isu yang berlaku di Sepang, Selangor pada ketika itu berkaitan konsert kumpulan The 1975, selepas beliau selesai solat berjemaah di masjid itu.
“Pada mulanya, saya melihat pada video itu YB (Fahmi) telah menolak daripada bercakap apa-apa dalam masjid tersebut tetapi YB telah diserahkan mikrofon oleh AJK masjid tersebut. Sepanjang video yang saya lihat YB hanya menerangkan berkenaan pembatalan konsert tersebut dan kenapa beliau batalkan konsert, itu sahaja,” kata saksi sepina itu sebagai saksi plaintif.
Muhammad Fiadhi berkata demikian dalam pendengaran kes saman fitnah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani berhubung hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Instagram pada 2023 di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Saksi itu turut mengakui bahawa hasil siasatannya mendapati tiada sebarang pertuduhan yang boleh dibuat terhadap plaintif (Fahmi) di bawah Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ketika disoal peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh yang mewakili Ahmad Dusuki sama ada Muhammad Fiadhi bersetuju atau tidak siasatannya adalah menjurus kepada persoalan adakah Fahmi berucap dengan ucapan politik, saksi menjawab “Ya betul”.
Muhammad Fiadhi turut bersetuju dengan cadangan Mohamad Kamarulzaman bahawa ucapan politik dan berucap adalah dua benda yang berbeza.
Saksi itu berkata beliau telah dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk diambil keterangan berhubung siasatannya terhadap kes terbabit.
Muhammad Fiadhi bersetuju bahawa tiada ucapan politik Fahmi ketika berucap di masjid berkenaan.
Beliau menjelaskan Fahmi hanya menjawab soalan yang diajukan oleh AJK masjid tersebut meskipun beliau telah menolak beberapa kali untuk tidak bercakap dan berucap dalam masjid.
“Beliau tak nak berucap tetapi telah dipaksa dengan memberikan mikrofon kepadanya, jadi beliau tiada pilihan dan YB Fahmi menjelaskan mengapa beliau menghentikan konsert tersebut,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi.
Sementara itu, Ahmad Dusuki, 50, dalam pernyataan saksinya berkata beliau menegaskan bahawa penerbitan kenyataan tersebut tidak luas aksesnya dan sebarannya serta tidak memberikan kesan kepada reputasi plaintif.
Disoal peguam Fahri Azzat mengenai Ahmad Dusuki sebagai penceramah awam mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ketepatan apa-apa yang diterbitkan di akaun-akaun (Facebook dan Instagram), Ahmad Dusuki menjawab “ya, saya ada dosa dan pahala”.
Fahri: Saya katakan Encik Dusuki buat posting (hantaran) di akaun-akaun tersebut untuk mempengaruhi pemikiran pengikut anda? dan Ahmad Dusuki berkata tidak.
Ahmad Dusuki turut mengakui beliau tidak menghubungi plaintif atau pejabat plaintif sebelum membuat hantaran tersebut.
Menurut Ahmad Dusuki, beliau juga sedar bahawa plaintif adalah seorang Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet namun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau telah menyebabkan kerosakan kepada reputasi plaintif dan tidak memberikan apa-apa ganti rugi atau minta maaf.
Dalam prosiding hari ini, pihak plaintif dan defendan menutup kesnya dan mahkamah menetapkan 9 Julai untuk hujahan lisan.
Mahkamah juga meminta kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balasan masing-masing pada 20 Mei dan 18 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd



