Fahmi ucap takziah kepada Wan Saiful, saran buat filem

Fahmi ucap takziah kepada Wan Saiful, saran buat filem

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyarankan agar Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) agar membuat filem mengenai nasib yang menimpa dirinya selepas keahliannya dipecat oleh BERSATU.

Fahmi semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar bagi kementeriannya turut mengucapkan takziah dan meminta Wan Saiful bersabar menghadapi dugaan berkenaan.

“Pertama, saya ucapkan takziah dan semoga Tasek Gelugor bersabar menghadapi dugaan yang sangat besar ini.

“Anda lelaki yang sangat baik dan tak wajar diperlakukan sedemikian rupa. Saya harap keadilan dapat ditegakkan untuk YB,” katanya.

Wan Saiful selepas itu mengucapkan penghargaannya atas kata-kata semangat kepadanya, selain menyatakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) turut dipanggil oleh Lembaga Disiplin BERSATU, Khamis ini.

Terdahulu semasa Fahmi menggulung perbahasannya, Wan Saiful bangun mencelah dan bertanyakan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat berkait pelesenan penyiaran yang dilihat memberi kesan negatif kepada negara ini.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin BERSATU memecat keahlian Wan Saiful serta menggantung keahlian selama satu penggal Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Semalam, Saifuddin dilapor akan menghadiri sesi siasatan bersama Lembaga Disiplin BERSATU pada Khamis ini, susulan dakwaan pembabitannya dalam gerakan menggugat kedudukan Muhyiddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top