‘False start’ musnahkan impian Dikwan pertahan emas

‘False start’ musnahkan impian Dikwan pertahan emas

PETALING JAYA: Hari ini adalah hari yang cukup menyedihkan buat pelari pecut negara, Mohamad Ridzuan Puzi selepas impiannya untuk mempertahankan pingat emas 100 meter (m) T36 (cerebral palsy) dalam Sukan Para Asia Hangzhou digagalkan oleh ‘false start’.

Ridzuan, 36, yang lebih mesra disapa Dikwan tidak mampu menahan kecewa apabila idlihat menangis sejurus selepas penyertaannya dibatalkan.

Menurut jurulatih pecut para negara, Hamberi Mahat, beliau sudah melakukan sehabis baik untuk membantu anak didiknya itu mengelak daripada melakukan kesilapan di blok permulaan.

Begitupun keinginan tinggi untuk menang mungkin antara punca juara Paralimpik Rio 2016 itu melakukan kesilapan, sekali gus gagal mempertahankan emas yang dimenangi dalam temasya Jakarta-Palembang 2018.

“Dia memang sangat kecewa. Sebenarnya semalam di separuh akhir, dia ada melakukan kesilapan di blok (permulaan). Tapi bila saya tunjuk video dan dia nampak kesilapan itu, saya beritahu jangan lakukan kesilapan sama lagi.

“Pagi tadi, ketika sesi pemanas badan untuk final, kami sama-sama lakukan pembetulan untuk reaksi di blok dan semuanya berjalan lancar.

“Sebenarnya Dik Wan sekarang ini sedang berada pada prestasi terbaik. Masa separuh akhir pun dia melakukan catatan peribadi terbaik musim ini.

“Sebagai jurulatih saya pun meletakkan sasaran tertentu tapi di perlumbaan final, mungkin dia terlalu hendak menang sehingga tak dapat kawal emosinya dan menyebabkan melakukan ‘false start’,” katanya.

Jelas Hamberi, pada pandangannya Ridzuan sudah melakukan yang sebaik mungkin namun rezeki tidak memihak kepadanya pada kali ini.

China menguasai kedudukan 1-2 dengan Deng Peicheng meraih emas menerusi 11.80 saat (s), yang juga rekod baru temasya, menewaskan Yang Yifei (12.15s). Gangsa milik Matsumoto Takeru dari Jepun (12.38s). – UTUSAN

Scroll to Top