Sungai Besar: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengakhiri sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2023 di Stadium Sungai Besar, di sini dengan pencapaian yang memberangsangkan apabila mencatatkan kehadiran sehingga 14,000 pengunjung.
HSN 2023 bertemakan ‘Yuk Mampir’ yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik perhatian penduduk setempat apabila ia julung kali diadakan di daerah Sabak Bernam di Selangor.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sambutan HSN yang diadakan setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan statistik dalam kehidupan masyarakat dan negara.
Katanya, karnival itu turut memberi ruang kepada masyarakat bagi melihat keunikan dan kesenian statistik dengan membabitkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan DOSM.

Pelbagai informasi turut dikongsi untuk meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan statistik dalam kehidupan.
“HSN kali ini mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat terutamanya dari sekitar Sabak Bernam, Sekinchan dan Sungai Panjang.
“Pelbagai program dan aktiviti dianjurkan antaranya pertandingan Debat Statistik antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Peringkat akhir debat ini antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang dimenangi oleh USM.
“Turut diadakan wawancara statistik bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azman Dahlan. Sesi Literasi Statistik pula turut menjemput bersama panel DOSM bagi perkongsian pelaksanaan Banci Pertanian 2024 serta Penemuan Survei Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.
“Begitu juga dengan agensi lain kerajaan seperti Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang, Pembangunan Kawasan Sabak Bernam dan lain-lain lagi yang turut menyertai acara pameran,” katanya ketika berucap pada majlis penutup.

Mohd Uzir menyampaikan hadiah kepada pemenang Debat Statistik antara Institusi Pendidikan Tinggi sempena Hari Statistik Negara 2023 di Sungai Besar, baru-baru ini.
Mohd Uzir berkata, DOSM juga menganjurkan kuiz statistik yang mendapat sambutan menggalakkan selain pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat.
Beliau berkata, pertandingan bola sepak piala Ketua Perangkawan Malaysia bagi bawah 10 dan 12 tahun serta Larian D’Bendang akan dijadikan acara tahunan.
“Ini memandangkan sambutan hangat dalam kalangan komuniti setempat dan sambutan HSN 2023 di peringkat DOSM akan diteruskan sehingga ke penghujung tahun.
“Bagi acara kesenian dan kebudayaan pula, pertandingan Suara Emas Hari Statistik Negara diadakan bersama persembahan festival kumpulan Pentarama dari Jabatan Penerangan Malaysia dan pentas kebudayaan setempat,” katanya.

Mohd Uzir turut menyertai acara mengagau ikan di sawah bersama-sama penduduk setempat sempena Hari Statistik Negara 2023 di Sungai Besar.
Lancar laman OpenDOSM NextGen
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, pihaknya melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.
“Portal ini telah mencapai satu juta tontonan sejak dilancarkan 12 Januari lalu. Semoga ia terus memberi manfaat statistik kepada semua,” katanya.
Katanya, OpenDOSM NextGen adalah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




