Kuala Lumpur: Sambutan Ambang Hari Kebangsaan di seluruh negara berlangsung meriah dalam suasana semangat patriotik yang tinggi dengan beberapa lokasi menjadi tumpuan orang ramai bagi menantikan kiraan detik 12 tengah malam.
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka, di ibu negara bagi memeriahkan Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka 2026 dan bersama-sama menantikan kiraan detik Hari Kebangsaan ke-69.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di lokasi meriah apabila pengunjung daripada pelbagai lapisan usia mula memenuhi dataran bersejarah itu seawal 8 malam sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan latar bangunan ikonik Sultan Abdul Samad menyerlahkan lagi kemeriahan sambutan.
Konsert selama 90 minit itu menampilkan penyanyi tempatan antaranya Aina Abdul, Aman RA, Nadia Aqilah, Asmidar, Haziq Rosebi, Mimifly, Izen Kong dan Pasya, dengan persembahan diiringi kira-kira 350 penghibur menerusi gabungan muzik, tarian dan penceritaan mengenai sejarah, warisan budaya serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Di PUTRAJAYA, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah turut serta dalam kemuncak Sambutan Ambang Merdeka yang diserikan dengan acara Kira Detik Merdeka dan pertunjukan bunga api di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru.
Diadakan bersempena RIUH Merdeka, program itu diserikan dengan persembahan artis tempatan seperti Ernie Zakri, Anuar Zain dan Noraniza Idris diikuti tayangan filem “Mukhsin” dan “Sepet” bermula 2 pagi.
Di SELANGOR, Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri berlangsung di Stadium Kajang, dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung seawal 8 malam.
Acara bermula sebaik ketibaan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada 9.20 malam dengan pertunjukan payung terjun skuad elit VAT 69 Komando serta nyanyian lagu “Negaraku” sebelum diteruskan menerusi perarakan pelbagai kontinjen agensi awam, swasta dan kenderaan berhias, di samping persembahan khas bomba, polis dan Angkatan Tentera Malaysia.
Kemuncak sambutan dizahirkan menerusi laungan “Merdeka” diketuai Menteri Besar tepat 12 tengah malam, disusuli pertunjukan bunga api, persembahan cahaya, serta konsert kemuncak oleh Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie, Gerhana Skacinta, Merrah dan Wani Kyrie.
Di MELAKA, lebih 10,000 pengunjung menyertai Sambutan Ambang Merdeka sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka di Dataran 1Malaysia, Klebang dengan pelbagai acara kesenian, kebudayaan dan persembahan beberapa artis ternama antaranya Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain dan kumpulan band dari Indonesia, ST12.
Selain itu, pengunjung turut menanti kiraan detik 12 tengah malam serta persembahan bunga api sebagai penutup Sambutan Ambang Merdeka yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz serta barisan exco dan kepimpinan kerajaan negeri.
Di PERAK, lebih 20,000 pengunjung membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh bagi menyemarakkan Sambutan Ambang Merdeka X Festival BSAS 2026 yang dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut menyaksikan kemeriahan percikan bunga api bagi menyambut detik 12 tengah malam.
Venue tersebut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk Larian Bulatan Sultan Azlan Shah, Jualan Rahmah, “Thrift Market”, gerai makanan dan minuman, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan karaoke, Rumah Hantu Tantirana serta persembahan Konsert Malam Tanpa Bintang 2.0 dan Pentas Gegar Kosmik 3.0.
Di PERLIS, Ambang Merdeka disambut bersekali majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar malam ini.
Dalam titah ucapan, baginda mengingatkan rakyat bahawa kemerdekaan yang dinikmati lahir daripada perjuangan panjang, pengorbanan besar dan kesepakatan rakyat pelbagai kaum, oleh itu ia hendaklah diisi dengan ilmu, integriti, perpaduan dan rasa tanggungjawab terhadap tanah air.
Majlis sambutan yang berlangsung meriah itu menarik lebih 46,000 pengunjung yang hadir ke kompleks sukan berkenaan bagi bersama-sama menyemarakkan ambang kemerdekaan sekali gus mencerminkan semangat patriotisme dan kecintaan rakyat Perlis terhadap negara.
Di KEDAH, Sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri dihadiri lebih 30,000 pengunjung dan ketibaan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Dataran Star walk, Alor Setar, pada kira-kira 10.20 malam.
Pada sambutan yang bermula dengan nyanyian lagu “Negaraku”, lagu negeri Kedah serta persembahan tarikan dan silat itu, Muhammad Sanusi ketika berucap mengingatkan orang ramai untuk mensyukuri dan menghayati kemerdekaan yang dicapai kini, selain ia perlu dijaga dan dipertahankan.
Di KELANTAN, 69 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta swasta seperti Jabatan Penjara, Air Kelantan Sdn Bhd dan Politeknik Kota Bharu menyertai acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika berucap berkata pembangunan atau kemajuan yang ingin dicapai tidak boleh sama sekali menyisihkan kepentingan Islam dalam setiap matlamat dan wawasan yang ingin dicapai.
Di TERENGGANU, sambutan Ambang Merdeka berlangsung penuh meriah di Dataran Muara Utara, Kuala Terengganu City Centre dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung bagi menyaksikan pelbagai program dan acara kemuncaknya nyanyian lagu “Tanggal 31 Ogos” serta lagu “Jalur Gemilang” selain pertunjukan bunga api.
Sementara menanti detik 12 tengah malam, sambutan dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk Forum Bicara Kemerdekaan serta persembahan nyanyian daripada kumpulan nasyid terkenal Rabbani.
© New Straits Times Press (M) Bhd
