Alunan selawat bergema di Chow Kit

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Alunan selawat bergema di tengah-tengah kawasan Chow Kit, di sini, malam ini, apabila lebih 200 peserta menyertai program Chow Kit Berselawat dan Malam Ambang Merdeka 2026.

Program penuh penghayatan itu berlangsung dalam suasana penuh kesyahduan apabila jemaah bersama-sama mengalunkan selawat dan puji-pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Program berkenaan dihadiri Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Mohd Nor Ibrahim mewakili Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pengerusi Penganjur Sekretariat Chow Kit Berselawat, Helmy Ariff Husdi @ Atan berkata, program julung kali diadakan dalam skala besar itu bertujuan menyemarakkan budaya berselawat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Katanya, program berkenaan turut menjadi wadah untuk menyambut malam Ambang Merdeka dengan pengisian rohani dan mengingati Rasulullah SAW.

“Tujuan program ini antaranya untuk mencetuskan minat generasi kita supaya suka berselawat dan dalam masa sama menghidupkan semangat kemerdekaan dengan sentiasa mengingati Rasulullah SAW.

“Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 200 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.

Beliau berkata, program itu turut disertai kumpulan qasidah, persatuan nasyid dan persatuan silat, selain mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, penganjuran Chow Kit Berselawat turut membabitkan Persatuan Peniaga dan Penjaja-Penjaja Kuala Lumpur (PPWPKL), Malaysia Crime Community Centre (MCCC), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Dunia Seni Silat Melayu Selangor.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, program berkenaan wajar dijadikan titik permulaan untuk masyarakat meneruskan semangat berselawat dalam kehidupan seharian.

“Marilah kita jadikan malam ini sebagai satu titik permulaan. Bukan sekadar berselawat pada malam ini, tetapi kita teruskan semangat selawat itu dalam kehidupan kita seharian.

“Bukan sekadar melaungkan Merdeka, tetapi buktikan kemerdekaan itu melalui perpaduan, toleransi, tanggungjawab dan kasih sayang sesama masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top