mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kini menjadi penentu utama terhadap masa depan penajaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa penaja utama badan induk itu, Bank Islam ada menghubungi FAM serta mengemukakan surat rasmi, namun ia sekadar bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar yang sedang dihadapi.
“Memang apabila kes ini berlaku, Bank Islam ada menghubungi kita. Ia lebih kepada mahu mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana proses yang sedang kita lalui ketika ini.
“Sebagai penaja, mereka berhak untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai status kes ini, langkah yang telah diambil oleh FAM serta hala tuju yang dirancang sementara menunggu keputusan muktamad,” katanya.
Menurut Mohd Yusoff, FAM juga mengadakan beberapa siri perjumpaan bersama pihak Bank Islam bagi menjelaskan secara terperinci mengenai kedudukan semasa kes berkenaan termasuk proses rayuan yang kini berada di peringkat CAS.
“Kita juga mengadakan siri perjumpaan bersama mereka. Setakat ini, Bank Islam mengambil pendirian untuk menunggu keputusan terakhir kerana proses di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) belum selesai sepenuhnya.
“Buat masa ini, mereka tidak membuat sebarang keputusan drastik dan memilih untuk melihat bagaimana kes ini berakhir sebelum menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Mohd Yusoff menegaskan bahawa selagi proses perundangan masih berjalan, FAM perlu menghormati semua prosedur yang ditetapkan dan memastikan segala urusan dilaksanakan sehingga ke peringkat akhir.
“Sebab itu saya tegaskan, kita perlu jalankan proses ini sampai berakhir. Selagi keputusan CAS belum diketahui, kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan awal.
“Setakat ini, tiada apa-apa perubahan dengan Bank Islam. Cuma belum ada keputusan muktamad kerana semuanya bergantung kepada keputusan akhir CAS,” katanya lagi.
Beliau mengulas demikian bagi menjawab desas-desus yang mendakwa Bank Islam bakal menarik diri sebagai penaja FAM selepas logo institusi perbankan itu dilihat sudah tidak lagi terpapar di laman sesawang rasmi badan induk bola sepak berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff menjelaskan bahawa pertanyaan daripada pihak penaja adalah perkara biasa, khususnya apabila membabitkan isu berprofil tinggi yang memberi kesan besar kepada reputasi organisasi.
“Semuanya lebih kepada faktor mahu tahu status dan mendapatkan kepastian. Secara rasmi, tidak ada sebarang keputusan untuk menarik diri,” katanya.
Untuk rekod, FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan dakwaan pemalsuan dokumen.
Ketika ini, FAM sudah membawa kes berkenaan ke CAS dan keputusan akhir dijangka diketahui pada Mac depan, yang bukan sahaja bakal menentukan nasib pasukan kebangsaan, malah masa depan struktur pentadbiran serta penajaan FAM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




