Mahu mengukuhkan kedudukan dalam industri seni, penyanyi Fanzi Ruji berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur.
Selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni, lelaki yang berasal dari Ranau, Sabah ini ingin memberikan lebih banyak fokus terhadap kerjaya nyanyian.
“Saya sudah sedekad berada dalam industri nyanyian, tetapi fokus di Sabah. Perjalanan seni saya setakat ini baik-baik sahaja, tetapi saya menyimpan hasrat untuk masuk ke pasaran mainstream.
“Sebelum ini saya ada beberapa lagu solo serta lagu duet bersama Marsha Milan. Ia mendapat respons positif tetapi belum cukup untuk menyerlahkan nama saya. Jadi, saya membuat keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi merealisasikan cita-cita saya,” katanya.
Mengukuhkan diskografi dalam industri seni, Fanzi kembali dengan single terbaharu berjudul Berharap.
“Lagu ini merupakan ciptaan saya bersama Reza Ramsey. Sebenarnya, Berharap telah siap sejak tahun lalu, namun saya memilih untuk menyimpannya terlebih dahulu sehingga tiba masa yang sesuai untuk dilancarkan.
“Saya bersyukur kerana lagu ini dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Kerana Seorang Lelaki arahan Michael Ang.
“Ini satu pendedahan yang baik untuk saya, lebih-lebih lagi saya kini berada di Kuala Lumpur,” ujarnya yang kini juga berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur.
Fanzi mula aktif dalam bidang nyanyian sejak 2011, namun hanya benar-benar menembusi pasaran arus perdana pada 2020 sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui single Hati Nan Rapuh.
Setahun kemudian, Fanzi berduet bersama Marsha Milan menerusi lagu Ikano, yang menjadi OST drama Love Elsa, sebelum tampil dengan single Mata Hati pada 2023.
Mengakhiri perbualan, Fanzi menyimpan hasrat agar lagu Berharap dapat diterima baik peminat.
“Semestinya saya menaruh harapan agar Berharap diterima ramai dan mendapat tempat tertinggi.
“Saya berharap lagu ini boleh mendapat tempat di pertandingan besar seperti Separuh Akhir Muzik-Muzik atau Anugerah Juara Lagu, insya-Allah,” katanya.




