Farid Kamil lebih bersedia kali ini

Farid Kamil lebih bersedia kali ini

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuang: Pelakon, Farid Kamil mengakui ada berlaku sedikit perselisihan faham dengan isterinya, Diana Danielle yang membawa wanita itu mahu menuntut cerai buat kali kedua.

Farid ketika ditemui berkata, ia adalah perkara biasa dan dia mengambilnya secara positif.

“Ia (perselisihan faham) berlaku kadang-kadang tepat pada kala bulan mengambang (ketika Diana sedang haid). Bukan saya atau Diana saja begitu. Kalau ‘bulan mengambang’ semua orang akan begitu. Ia khusus membabitkan mereka yang berkahwin.

“Pada saya ini biasa. Tsunami pun berlaku dua kali dalam dunia. Inikan pula ombak-ombak cinta. Macam saya cakap saya ambil benda ini positif,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Bisikan Dosa di KDH Villa, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai Diana dikatakan akan memfailkan cerai di mahkamah Jumaat ini, Farid berkata, dia

lebih bersedia kali ini.

“Saya anggap benda ini takdir Tuhan berkenaan kehidupan peribadi saya. Gosip-gosip liar atau fitnah-fitnah ini pula datang ketika saya sedang menjalani penggambaran filem ini. Saya dari dulu sentiasa tenang.

“Saya baru bercakap di telefon dengan Diana semalam. Ini benda yang baru berlaku. Macam minggu depan saya belum tahu,” katanya.

Farid berkata, dia mengharungi kehidupan rumah tangga selama 15 tahun tanpa mengambil sesen pun wang netizen.

“Masalah daripada saya, masalah yang timbul ‘sekupang’ (10 sen) pun saya tak ambil duit mereka,” katanya.

Ditanya reaksi kedua-dua anaknya berkenaan isu ini, Farid berkata, mereka tidak perlu tahu masalah ini.

“Saya pun tak perlu sampaikan apa-apa pesanan kepada Diana di sini. Biarlah saya sampaikan terus menerusi WhatsApp. Cukuplah,” katanya.

Dalam pada itu, Farid mengakui tumpuannya terhadap penggambaran filem ini agak terganggu dengan isu ini.

Bagaimanapun, dia mengambil ia dari sudut positif untuk terus fokus dalam melakonkan watak Ayden untuk filem ini.

Semalam, Farid menerusi satu hantaran di Instagram bertegas untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Diana.

Farid berkata, cinta dan kasih sayang terhadap Diana tidak pernah pudar, malah akan berusaha menjernihkan hubungan mereka.

Kelmarin, Diana membuat kejutan apabila nekad untuk bercerai dengan Farid.

Berita itu dikongsinya menerusi satu hantaran di Instagram tanpa mendedahkan punca dia nekad dengan keputusan itu.

Sebelum ini, Diana dan Farid pernah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos tahun lalu.

Namun, mereka rujuk semula selepas sebulan bercerai.

Mereka berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua anak iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top