Farkhan nekad buru gelaran juara Asia Bridgerweight

Farkhan (kanan) menjalani latihan intensif di Singapura sebagai persiapan menghadapi petinju Turkiye, Yousof Mohammadiosmanvandi. – Foto JOHOR SOUTHERN TIGERS

WALAUPUN belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan bahu kanan, petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron tetap bersemangat untuk memburu gelaran juara Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori Bridgerweight (bawah 100 kilogram) di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru pada 25 Disember ini.

Petinju berusia 34 tahun dari Johor itu akan turun melakukan perhitungan bersama petinju Turkiye, Yousof Mohammadiosmanvandi dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2022, selepas lebih tiga tahun berehat daripada beraksi di atas gelanggang.

Farkhan yang mempertahankan gelaran Juara Asia bagi Kelas Cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Kelas Light Heavyweight WBC mengakui berasa agak tertekan ‘berdepan’ Yousuf yang mempunyai rekod baik pada tahun ini apabila merangkul kejuaraan sebanyak dua kali menerusi pukulan ‘technical knock out’ (TKO).

“Saya buat pembedahan bahu kanan pada April tahun lepas disebabkan artritis iaitu pembedahan ini yang kedua selepas 2009 kerana rasa kesakitan yang sama macam dulu (2009) dan bila jumpa doktor, disyorkan buat pembedahan.

“Kalau terlampau banyak buat latihan, saya memang perlu berjumpa doktor iaitu sebulan sekali kena buat terapi Platelet-rich plasma (PRP). Namun, saya masih kuat semangat untuk kembali beraksi di atas gelanggang tinju selepas tiga tahun dan positif bahawa yang terbaik akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sidang Akhbar Kejohanan JIBC yang dianjurkan oleh Persatuan Tinju Negeri Johor dengan kerjasama FH Sports Promotion & Sports Johor Sdn Bhd di Muzium Majlis Olimpik Malaysia (OCM) pada Khamis.

Farkhan yang memiliki rekod kemenangan 100 peratus, apabila memenangi kesemua 11 pertarungan beliau sebelum ini, bagaimanapun berkata, beliau mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman dalam tinju profesional serta sudah menetapkan strategi mantap untuk menentang pihak lawan.

Anak kepada bekas petinju negara, Allahyarham Mohd Haron Ismail itu berkata, sudah menjalani latihan intensif di Singapura, iaitu sebahagian besar rakan sepelatih di sana mempunyai keadaan fizikal yang hampir sama dengan bakal lawannya dari Turkiye nanti. – Bernama