PETALING JAYA: Farm Fresh Berhad menetapkan harga terbitan bagi cadangan penempatan persendirian pada RM1.95 sesaham, dalam usaha meraih hasil kasar sehingga RM200 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar produk tenusu itu berkata, lembaga pengarah menetapkan harga terbitan itu pada 3 September 2026, selepas penutupan dagangan di Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menurutnya, harga terbitan RM1.95 itu mewakili diskaun sebanyak 6.34 sen atau kira-kira 3.2 peratus berbanding harga purata wajaran mengikut jumlah dagangan (VWAP) lima hari Farm Fresh sebanyak RM2.0134 sesaham sehingga 3 September.
CIMB Investment Bank Berhad membuat pengumuman itu bagi pihak syarikat.
Penetapan harga berkenaan susulan pengumuman Farm Fresh pada 3 dan 4 September mengenai cadangan penerbitan saham biasa baharu melalui penempatan persendirian.
Langkah itu bertujuan mengumpul hasil tunai kasar sehingga RM200 juta bagi syarikat.
Berdasarkan harga penempatan tetap RM1.95 sesaham, Farm Fresh perlu menerbitkan kira-kira 102.6 juta saham baharu untuk mengumpul jumlah maksimum RM200 juta.
Namun begitu, jumlah akhir saham penempatan dan hasil yang diperoleh bergantung kepada penyempurnaan proses tersebut.
Penempatan persendirian itu memberi Farm Fresh saluran untuk mengumpul modal ekuiti baharu selain mengukuhkan kapasiti pembiayaannya bagi memenuhi keperluan kumpulan. – UTUSAN
