Alhamdulillah, 69 tahun negara kita merdeka daripada belenggu penjajahan. Namun, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tanah air. Ada penjajahan yang jauh lebih halus dan berbahaya, iaitu apabila hati masih diperhambakan oleh ego, pujian manusia, fanatisme kelompok, nafsu dunia dan kebencian terhadap orang yang berbeza pandangan. Inilah antara wajah ‘jahiliah’ yang boleh kembali hidup dalam masyarakat moden. Kita mungkin memiliki telefon pintar, pendidikan tinggi dan akses ilmu tanpa sempadan, tetapi jika mudah mencaci, merendahkan, menunjuk-nunjuk, memburu kesalahan orang dan berasakan diri sentiasa benar maka sebahagian perangai jahiliah masih membelenggu jiwa.
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan bahawa jahiliah bukan hanya nama satu zaman, tetapi sifat yang boleh muncul pada orang beriman jika tidak dibersihkan. Ketika Abu Dharr RA mencela seorang lelaki dengan menyebut asal ibunya, Nabi SAW menegurnya: “Sesungguhnya engkau seorang yang masih ada sifat jahiliah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Teguran ini amat relevan dengan zaman kita. Menghina keturunan, rupa, pekerjaan, pendidikan, negeri, bangsa atau latar keluarga bukan tanda keberanian, tetapi sisa jahiliah. Lebih indah, Abu Dharr menerima teguran dan berubah. Inilah kemerdekaan jiwa bukan berasa diri tidak pernah salah, tetapi sanggup mengakui kesalahan dan memperbaikinya.
Allah mengingatkan dalam Surah al-Hujurat ayat 11 agar satu kaum tidak merendahkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik di sisi Allah. Ayat ini sangat dekat dengan realiti hari ini. Media sosial mudah menjadikan manusia hakim tanpa ilmu. Satu potongan video cukup untuk menghukum, satu tangkap layar cukup untuk memalukan, satu perbezaan pendapat cukup untuk mencetuskan cacian. Islam mendidik kita supaya tidak membina maruah sendiri dengan meruntuhkan maruah orang lain.
Antara belenggu terbesar ialah taasub. Taasub berlaku apabila seseorang tidak lagi mencari kebenaran, sebaliknya hanya mahu mempertahankan kumpulan, tokoh atau ideologi yang disukainya. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa ayat 135 supaya orang beriman berdiri teguh menegakkan keadilan walaupun terhadap diri sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat. Dalam Surah al-Maidah ayat 8 pula, Allah menegaskan bahawa kebencian kepada sesuatu kaum jangan sampai mendorong kita berlaku tidak adil. Ertinya, ukuran seorang Muslim bukan ‘siapa berkata’, tetapi ‘apakah ia benar menurut al-Quran, sunah dan neraca ilmu?’
Takabbur pula ialah penjara yang membuat manusia sukar menerima teguran. Rasulullah SAW bersabda bahawa tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar zarah kesombongan. Baginda menjelaskan bahawa sombong ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia (Riwayat Muslim).
Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini turut menekankan bahaya menolak kebenaran dan memandang rendah orang lain. Maka tanda ilmu bukan semakin keras menghukum manusia, tetapi semakin takut untuk menzalimi mereka.
Riyak juga penjajahan hati. Pada zaman like, view dan follower, amal mudah berubah menjadi persembahan. Dalam hadis qudsi, Allah berfirman bahawa Dia tidak memerlukan sebarang sekutu; sesiapa melakukan suatu amalan lalu mempersekutukan selain Allah dalam amalan itu, Allah meninggalkannya bersama apa yang disekutukannya. (Riwayat Muslim)
Sunah praktikalnya ialah membina amalan rahsia antaranya sedekah yang tidak diketahui, doa yang tidak dirakam, tahajud yang tidak dimuat naik dan kebaikan yang tidak menunggu tepukan serta iklan.
Tabarruj pula bukan hanya isu pakaian, tetapi budaya menonjolkan kecantikan, tubuh, kemewahan atau gaya hidup untuk menarik perhatian secara melampau. Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksus: “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah dahulu.”
Prinsipnya ialah maruah mesti mengatasi keinginan untuk diperhatikan. Remaja wanita, khususnya, perlu dididik bahawa nilai diri bukan pada komen orang, bentuk tubuh, jenama pakaian atau kemampuan mengikuti trend, tetapi pada takwa, ilmu, akhlak dan manfaat yang dibawa.
Begitu juga ‘ghuluw’ iaitu sikap melampau sehingga hilang hikmah, rahmah dan pertimbangan ilmu. Rasulullah SAW bersabda: “Binasalah orang yang melampau,” dan baginda mengulanginya tiga kali. (Riwayat Muslim)
Islam tidak mengajar kita menjadi longgar terhadap prinsip, tetapi Islam juga tidak mengizinkan agama dijadikan lesen untuk memaki, menuduh, mengkafirkan atau menghina sesuka hati. Tegas tidak bererti kasar; berprinsip tidak bererti zalim.
Satu lagi penyakit ialah hubbud dunya, cinta dunia secara berlebihan. Allah mengingatkan dalam Surah al-A’la ayat 16 hingga 17 yang bermaksud: “Tetapi kamu mengutamakan kehidupan dunia sedangkan akhirat lebih baik dan lebih kekal”. Dunia bukan musuh; dunia ialah alat. Harta, kerjaya, media, pengaruh dan kuasa boleh menjadi ibadah jika membawa manusia kepada Allah. Bagaimanapun, apabila dunia menjadi tujuan mutlak, manusia sanggup menipu, menjatuhkan orang, menunjuk kemewahan dan menggadaikan prinsip demi perhatian.
Jahiliah moden juga muncul dalam budaya mencari aib. Dalam Surah al-Hujurat ayat 12Allah melarang tajassus, iaitu mengintip dan mencari-cari kesalahan orang. Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa tajassus lazimnya berkaitan usaha menyelidik dengan niat yang buruk. Kita perlu bertanya sebelum menekan butang share adakah maklumat ini benar, perlu dan mendatangkan maslahat? Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Mencaci seorang Muslim adalah kefasikan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lidah hari ini mungkin berbentuk papan kekunci, tetapi dosa penghinaan tetap dosa.
Bagaimana mahu merdeka? Mulakan secara fizikal dengan menjaga pandangan, pakaian, pergaulan dan penggunaan gajet. Secara mental, latih diri menerima teguran, membaca pandangan berbeza, melakukan tabayyun dan membezakan dalil daripada sentimen kelompok. Secara spiritual, hidupkan solat awal waktu, zikir, tilawah al-Quran, istighfar, doa memohon keikhlasan dan muhasabah sebelum tidur. Setiap malam tanyakan: Hari ini aku membina manusia atau menjatuhkannya? Aku mencari reda Allah atau pujian manusia?
Kemerdekaan sebenar ialah apabila kita tidak lagi diperintah oleh ego, nafsu, pujian dan kebencian. Keluarga memerlukan insan yang matang, masyarakat memerlukan Muslim yang adil, negara memerlukan generasi yang berakhlak dan ummah memerlukan manusia yang berani membetulkan diri sebelum sibuk membetulkan orang lain. Moga Allah memerdekakan hati kita daripada jahiliah lama yang memakai wajah baharu, lalu menjadikan kita manusia yang membawa rahmat, bukan fitnah; menyatukan, bukan memecah; membimbing, bukan menghukum.
Penulis pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd
