Fasal 7A PN beri kuasa muktamad kepada Majlis Presiden, tapi mesti sebulat suara

Fasal 7A PN beri kuasa muktamad kepada Majlis Presiden, tapi mesti sebulat suara
Fasal 7A PN beri kuasa muktamad kepada Majlis Presiden, tapi mesti sebulat suara

Gambar kecil: Marzuki (kiri) dan Mohd Radzi

SHAH ALAM – Peruntukan Fasal 7A Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) memberikan kuasa kepada Majlis Presiden untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara disiplin parti anggota dan ia mesti dilakukan secara sebulat suara.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, walaupun Fasal 15 memberikan kuasa kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk mengambil langkah tatatertib terhadap mana-mana parti anggota, ia bukannya tindakan muktamad.

“Tindakan disiplin di bawah Fasal 15 juga hanya boleh diambil jika parti anggota tersebut mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan PN.

“Bukan kepentingan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mahupun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk kekal dalam PN dan akan menggunakan logo gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.

Beliau menegaskan tidak ada mana-mana pihak boleh mengambil tindakan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu secara ‘unilateral’.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, terdapat fasal-fasal yang perlu dipatuhi mengikut Perlembagaan PN antaranya mesti ada konsensus dalam erti kata lain tidak boleh sepihak sahaja dan kesemua parti anggota mesti bersetuju.

Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi hantaran di Facebook menasihatkan pihak yang gigih ingin mengeluarkan Bersatu daripada gabungan mesti memahami Perlembagaan PN terlebih dahulu.

“Mereka yang gigih nak keluarkan Bersatu daripada PN kena faham Perlembagaan PN. Bersatu kekal dalam PN,” ujarnya.

Scroll to Top