NARATHIWAT (THAILAND): Pelantikan Datuk Ahmad Norihan Jalal sebagai fasilitator baharu Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand diharap dapat menghidupkan semula rundingan damai yang tertangguh sejak dua tahun lalu.
Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) masing-masing menyifatkan pelantikan itu sebagai perkembangan positif dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik berpanjangan di wilayah selatan Thailand.
Bekas pemimpin tertinggi BRN berkata, pelantikan itu sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam menggerakkan semula proses dialog damai berkenaan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Katanya, pernah bertemu Ahmad Norihan ketika tokoh itu menjawat jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dan mempunyai penilaian positif terhadap keupayaan serta pendekatannya dalam menangani isu Selatan Thai.
“Saya membuat penilaian bahawa beliau seorang yang bagus, bersikap positif dalam menghadapi isu di Selatan Thai serta mempunyai ilmu agama yang tinggi.
“Pelantikan beliau sebagai fasilitator Kerajaan Malaysia bertepatan dengan peranan Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanat Suwannano, yang pernah menjadi Ketua Pengarah Perisikan Nasional Thailand,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bekas pemimpin BRN yang pernah menyertai rundingan itu memberitahu, kerjasama Ahmad Norihan dan Thanat mampu memberikan kesan positif kepada proses dialog damai berkenaan.
Sementara itu, Presiden PULO, Kasturi Mahkota berkata, pihaknya mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan berharap fasilitator baharu itu dapat membantu merealisasikan penyelesaian yang dinantikan rakyat Patani.
“PULO mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan itu. Pertubuhan ini serta rakyat Patani menaruh harapan tinggi kepada beliau agar dapat mencari penyelesaian yang dinanti-nantikan,” ujarnya.
Kasturi berkata, pengalaman lebih 33 tahun Ahmad Norihan dalam Angkatan Tentera Malaysia, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, menjadikannya individu yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
Beliau berharap proses dialog damai di bawah fasilitator baharu itu dapat menghasilkan penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan.
“PULO berharap beliau mampu menyelesaikan konflik sebagaimana yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak dengan mantap, jitu dan cukup berkesan, iaitu satu proses penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan,” katanya. – UTUSAN




