Ralat sesaat ancam negara

Ralat sesaat ancam negara

mhafis@hmetro.com.my

Sepang: Perbezaan ralat sesaat dalam ketepatan waktu boleh mengancam keselamatan dan mengganggu ekonomi negara termasuk membuka ruang kepada serangan siber.

Justeru, di sebalik paparan waktu pada telefon bimbit, komputer dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, terdapat sistem pengukuran masa berketepatan tinggi yang memastikan seluruh negara menggunakan waktu seragam.

Malaysia bukan sekadar bergantung kepada jam digital atau rangkaian Internet untuk menentukan waktu rasmi negara, sebaliknya menggunakan jam atom caesium yang diselenggara Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) bagi membangunkan dan mengekalkan Waktu Standard Malaysia (UTC+8).

Metrologi Kanan di Makmal Masa dan Frekuensi NMIM, Ahmad Sahar Omar berkata, ketepatan waktu bukan hanya penting bagi memastikan rakyat tidak terlewat ke tempat kerja, malah menjadi asas kepada kelancaran sistem kewangan, telekomunikasi, pusat data dan pelbagai infrastruktur digital kritikal negara.

Menurutnya, aktiviti dan transaksi yang berlaku dalam dunia digital sangat pantas di mana perbezaan ralat beberapa saat boleh menyebabkan risiko rekod transaksi tidak sepadan, kesukaran mengesahkan urutan transaksi, masalah audit dan siasatan.

“Selain itu, ralat beberapa saat juga boleh menyebabkan gangguan operasi pelayan dan pusat data, peningkatan risiko keselamatan siber dan ketidaktepatan operasi sistem telekomunikasi dan kewangan.

“Semakin besar jurang kebolehkesanan dan ketepatan masa kepada Waktu Standard Malaysia, maka semakin tinggilah risiko kepada keselamatan dan aktiviti ekonomi negara,” katanya dalam temu bual bersama Metro Ahad di ibu pejabat NMIM, baru-baru ini.

Ahmad Sahar berkata, berdasarkan sumber yang boleh diakses oleh pihak awam, tiada rekod rasmi di Malaysia yang menunjukkan gangguan besar berpunca semata-mata daripada perbezaan beberapa saat atau minit dalam sistem masa.

“Namun, pengalaman di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa ketidaktepatan masa boleh menjejaskan operasi sistem digital seperti urusan saham, kewangan, perdagangan, penguatkuasaan dan pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, NMIM menggunakan lima unit jam atom caesium bagi membangunkan dan menyelenggara Waktu Standard Malaysia selain membolehkan perbandingan berterusan serta menyediakan sistem sandaran sekiranya berlaku gangguan atau penyelenggaraan.

“Jam atom berkenaan dibandingkan dengan Waktu Seragam Sejagat (UTC) menerusi rangkaian perbandingan masa antarabangsa yang diselaraskan Biro Timbang dan Sukat Antarabangsa (BIPM) menggunakan kaedah GNSS All-in-View.

“Melalui kaedah itu, waktu dibangunkan NMIM dapat diselaraskan kepada UTC dalam julat ketepatan sekitar ±1 mikrosaat.

“Kepentingan waktu standard semakin ketara ketika urusan digital berlaku dalam tempoh amat singkat apabila perbezaan masa boleh menimbulkan masalah dalam penyelarasan rekod transaksi, pengesahan urutan urusan kewangan, audit dan operasi pelayan,” katanya.

Ahmad Sahar berkata, ketepatan masa turut berkait rapat dengan keselamatan siber serta kelancaran sistem telekomunikasi dan kewangan sekali gus menjadikan waktu standard sebagai antara komponen penting dalam menyokong ekonomi digital negara.

“Sumber utama masa negara ialah jam atom cesium di NMIM manakala Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) digunakan bagi tujuan perbandingan dan memastikan kebolehkesanan kepada UTC.

“Sehubungan itu, gangguan GPS tidak akan menyebabkan Waktu Standard Malaysia terjejas serta-merta manakala kemudahan bekalan elektrik sandaran di makmal berkenaan membantu memastikan operasi jam atom berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sejarah penyelarasan waktu Malaysia turut memperlihatkan kepentingan keseragaman dalam pentadbiran negara.

“Kerajaan kemudian menyelaraskan waktu Semenanjung Malaysia dengan waktu Sabah dan Sarawak pada 1 Januari 1982, menjadikan UTC+8 sebagai waktu rasmi yang digunakan di seluruh negara sehingga kini,” katanya.

Ketepatan masa jadi asas penting dalam urusan kritikal

Sepang: Ketepatan waktu bukan sekadar memastikan jam menunjukkan masa yang betul, sebaliknya menjadi asas penting kepada pelbagai urusan kritikal negara termasuk telekomunikasi, perbankan, penguatkuasaan dan transaksi digital.

Metrologi Kanan di Makmal Masa dan Frekuensi, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), Ahmad Sahar Omar berkata, tanggungjawab itu digalas makmalnya yang berperanan mewujudkan, menyelenggara dan menyebarkan standard pengukuran kebangsaan berkaitan masa dan frekuensi.

Katanya, metrologi ialah sains pengukuran manakala pegawai mengkhusus dalam bidang itu dikenali sebagai ahli metrologi.

“Peranan makmal itu semakin penting seiring perkembangan teknologi digital, Internet Kebendaan (IoT) dan peningkatan kelajuan rangkaian yang memerlukan penyelarasan masa tepat bagi memastikan pelbagai sistem beroperasi dengan baik.

“Waktu Standard Malaysia atau Malaysian Standard Time (MST) ditetapkan berdasarkan Waktu Seragam Sejagat (UTC) dengan tambahan lapan jam, selaras ketetapan kerajaan yang menyelaraskan waktu di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak 1982,” katanya.

Bagi memastikan ketepatan waktu, Ahmad Sahar berkata, NMIM menggunakan jam atom caesium-133 sebagai rujukan standard masa kebangsaan yang membolehkan pengukuran masa dibuat dengan ketepatan tinggi.

“Standard itu bukan sekadar untuk kegunaan dalaman, sebaliknya perlu disebarkan kepada pengguna melalui perkhidmatan penentukuran atau kalibrasi bagi memastikan peralatan serta sistem berkaitan mempunyai rujukan masa yang dipercayai.

“Keperluan itu turut berkait dengan aspek perundangan apabila pengukuran yang digunakan bagi tujuan penguatkuasaan perlu mempunyai kesahihan dan kebolehkesanan kepada standard yang diiktiraf.

“Antara aplikasi yang memerlukan ketepatan masa ialah sistem kamera penguatkuasaan had laju (AwAS), pelayan masa, sistem telekomunikasi, perbankan, bursa saham, lapangan terbang dan sistem tol,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks penguatkuasaan, penentukuran membolehkan masa yang direkodkan sesuatu sistem dibandingkan dengan Waktu Standard Malaysia bagi mengesahkan ketepatannya.

“Sebagai contoh, bagi sistem AwAS, maklumat masa dan kelajuan pada imej yang dirakam boleh dibandingkan dengan standard rujukan untuk menentukan sama ada sistem berkenaan beroperasi dengan tepat.

“Selain penentukuran di lokasi pelanggan, NMIM turut menyediakan perkhidmatan penentukuran jarak jauh menggunakan sambungan Internet bagi menghubungkan sistem pelanggan kepada Waktu Standard Malaysia.

“Kaedah itu semakin relevan berikutan peningkatan penggunaan sistem digital yang memerlukan penyelarasan masa termasuk apabila ribuan transaksi boleh berlaku dalam tempoh satu saat,” katanya.

Justeru, Ahmad Sahar berkata, ketepatan waktu dinikmati setiap hari bukan sekadar bergantung kepada jam yang digunakan, tetapi turut disokong sistem pengukuran kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top