Fauziah Latiff kenang 'Dia' sampai bila-bila

Fauziah Latiff kenang 'Dia' sampai bila-bila

Kuala Lumpur: Penyanyi Fauziah Latiff sedih dengan berita pemergian Allahyarham Ross Ariffin yang disifatkan permata dalam industri muzik tanah air.

Fauziah berbesar hati merakamkan lagu Dia ciptaan Allahyarham Ross yang masih popular hingga hari ini.

“Rasa sangat sedih atas kehilangan arwah Ross. Sebagai komposer, beliau adalah seorang yang terbaik di negara kita.

“Lagu Dia adalah karya agung ciptaan beliau. Arwah Ross selalu kata, lagu Dia adalah ‘masterpiece’ dan paling ringkas yang pernah dihasilkannya.

“Arwah sangat menggemari lagu itu. Dia ‘menjadi’ dan diterima pendengar hingga hari ini,” katanya.

Selain Dia, karya Allahyarham Ross yang dirakamkan Fauziah adalah Tiada Noktah Cinta dan Kenari.

“Kenari bagi saya sebuah naskhah yang sangat baik dan mencabar buat saya. Sejujurnya, bukan mudah bekerja dengan beliau. Tetapi, kami cuba untuk memahami kehendak masing-masing.

“Banyak jasa arwah Ross dan saya akan sentiasa kenang sampai bila-bila,” katanya.

Fauziah mengakui banyak kisah suka duka yang dikongsi bersama Allahyarham Ross.

“Susah senang dirinya, sedikit sebanyak ada yang dikongsi bersama saya. Tetapi, biarlah saya simpan di sini (hati) sahaja. Sedikit sebanyak, saya faham dirinya… Dia insan yang sebenarnya baik.

“Tetapi, keadaan tidak memihak kepadanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top