Federer tidak beraksi di Terbuka Australia 2021

Melbourne: Pemain tenis, Roger Federer tidak akan beraksi di Terbuka Australia buat pertama kali dalam kariernya setelah terpaksa meneruskan proses pemulihan pembedahan lututnya.

Perkara tersebut dijelaskan penganjur bahawa pemain berumur 39 tahun itu yang tidak turun beraksi sejak Februari 2020 tidak dapat bermain meskipun baru-baru ini sudah memulakan latihan.

“Pada akhirnya Roger tidak mempunyai cukup masa untuk mempersiapkan dirinya bagi Grand Slam pertama dan dia sangat kecewa tidak dapat datang ke Melbourne tahun 2021. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepadanya yang sedang mempersiapkan diri untuk kembali turun beraksi dan kita akan menanti kehadirannya pada 2022”, kata Pengarah kejohanan, Craig Tiley.

Sebagai pengetahuan, Federer tidak turun gelanggang sepanjang musim 2020 yang diganggu dengan COVID-19 setelah tewas pada pusingan separuh akhir kepada Novak Djokovic di Melbourne.

Dia kemudian menjalani pembedahan di bahagian lutut kanan Februari lalu sebelum menjalani pembedahan susulan dan menutup buku bagi kancah musim ini.

Pemain berasal dari Switzerland itu pernah memenangi trofi itu sebanyak enam kali dan selalu menjadi pilihan peminat di Melbourne serta belum pernah terlepas aksi Terbuka Australia sejak 2000.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top