Fella Design perkenal Cheers, perabot 'motion' nombor satu dunia

Fella Design perkenal Cheers, perabot 'motion' nombor satu dunia

lokman.khairi@hmetro.com.my

Ampang: Peruncit perabot dan pakar sofa terkemuka, Fella Design, hari ini, memperkenalkan jenama perabot motion (bergerak) nombor satu dunia, Cheers di pasaran Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fella, Yu Kong Cing berkata, Cheers dikeluarkan syarikat Man Wah Holdings dari China, mempunyai reputasi antarabangsa melalui gabungan kejuruteraan, kefungsian, reka bentuk kontemporari dan keselesaan dalam penciptaan perabot bertaraf dunia.

Menurutnya, jenama Cheers terkenal dengan sistem sandaran elektrik dan sokongan lumbar ergonomik yang meningkatkan keselesaan pengguna, seterusnya membolehkan jenama itu kini menjadi pilihan utama kediaman di lebih 100 negara.

“Kami melihat industri perabot kini bergerak seperti industri automotif apabila semakin banyak jenama antarabangsa memasuki Malaysia.

“Fella Design yang sudah bertapak selama 40 tahun perlu mengambil inisiatif awal menjalin kerjasama dengan jenama terbaik dunia supaya terus kekal sebagai perintis dalam industri perabot tempatan,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran Jenama Cheers di Fella Design & Ashley Furniture HomeStore di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksport Jenama Cheers, James Ke.

Mengulas lanjut, Yu berkata, berdasarkan perkembangan pasaran global, sofa motion kini merangkumi kira-kira 50 peratus pasaran keseluruhan di Amerika Syarikat, manakala di China, pasarannnya meningkat daripada lima peratus kepada antara 18 hingga 20 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, Fella Design yakin pasaran sofa motion di Malaysia mampu berkembang sehingga 15 hingga 20 peratus.

“Cheers memilih Fella Design kerana reputasi kukuh kami selama 40 tahun di Malaysia selain hubungan diplomatik dan ekonomi yang baik antara Malaysia dan China.

“Mereka melihat Malaysia sebagai hab ekonomi penting di Asia Tenggara dan Fella Design adalah platform terbaik untuk memperkenalkan produk bertaraf dunia kepada pengguna di negara ini,” katanya.

Katanya, Fella Design melabur kira-kira RM500,000 bagi pembangunan galeri Cheers di Ampang, selain merancang membuka sebuah flagship store lebih besar di ibu pejabat syarikat menjelang Oktober atau November depan dengan nilai pelaburan dua hingga tiga kali ganda.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, Fella Design menyasarkan segmen pelanggan muda dengan menawarkan sofa motion yang dilengkapi teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI), kawalan suara, sistem muzik bersepadu dan kemudahan pengecasan peranti.

“Kami juga mahu mengubah persepsi bahawa sofa motion semestinya mahal kerana Cheers mempunyai kelebihan dari segi jumlah pengeluaran serta kajian dan pembangunan (R&D) yang membolehkan kami menawarkan harga kompetitif, malah ada yang lebih rendah berbanding sofa statik premium.

“Strategi jualan pula menggunakan model hibrid iaitu pelanggan boleh mencuba sendiri produk di bilik pameran fizikal selain membuat pembelian menerusi platform dalam talian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top