mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala, Lumpur: Pelakon veteran yang juga penerbit, Mohd Rawi Mohamed Said, 83, atau lebih mesra dengan panggilan Papa Rawi meninggal dunia di rumahnya di ibu negara, hari ini.
Berita sedih ini dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Sandakiah Azez kepada Harian Metro.
Sandakiah berkata, Allahyarham yang mempunyai penyakit asma, jantung dan hernia dikatakan diserang semput lalu memanggil isterinya kira-kira jam 3 pagi tadi.
“Isterinya, Zarela Abdul Kadir mendapati ubat bancuh nebuliser suaminya sudah habis lalu menyapu ubat sapuan Vicks di dada dan belakangnya.
“Selepas itu Zarela atau Mummy ke dapur untuk membasuh tangan dan apabila ke depan mendapati suaminya sudah nazak lalu menghubungi jirannya, namun tak berjawab.
“Panggilan kali kedua dijawab oleh mereka yang hadir untuk membantu. Anak mereka dikatakan baru sahaja pulang ke Johor Bahru petang semalam lalu berpatah balik ke Kuala Lumpur sebaik terima berita ini,” katanya.
Sebelum terbabit dalam bidang seni, Papa Rawi pernah berkhidmat sebagai pengurus Bank Bumiputera (kini CIMB) di Sabah.
Sandakiah berkata, jenazah dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sebelum solat Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




