Fenomena aneh 'Gadis Kristal' sudah berhenti sepenuhnya

Fenomena aneh 'Gadis Kristal' sudah berhenti sepenuhnya

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Pernah digelar ‘Gadis Kristal’ kerana jari kakinya mengeluarkan objek keras menyerupai kristal, individu itu kini memilih untuk hidup jauh dari perhatian dan kembali menjadi insan biasa.

Siti Suhana Saadon, 41, yang masih menetap di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal berkata, kali terakhir kakinya mengeluarkan bebola kristal ialah pada 2019, sebelum fenomena aneh itu berhenti sepenuhnya.

“Saya tak nak dikenali begitu lagi… saya nak hidup macam orang lain, tak mahu jadi tumpuan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menurut Siti Suhana, dia pernah berkahwin pada November 2011 dengan lelaki dari Krubong namun rumah tangganya itu berakhir tanpa zuriat.

“Lepas kahwin pun masih ada objek keluar dari kaki, tapi enam tahun kebelakangan ini memang dah tak ada,” katanya.

Lebih selesa disapa Kak Iti oleh anak-anak jiran, dia kini tinggal bersama adik-beradiknya dan sesekali pulang melawat ibunya yang menetap di Chenor, Pahang.

Mengimbau kehidupannya Siti Suhana berkata, dia pernah menjaga adik bongsunya, Allahyarham Mohd Shamsuri, orang kurang upaya (OKU) sehingga pemuda itu meninggal dunia pada Ogos 2010.

“Ketika itu saya jual makanan ringan depan rumah untuk tambah pendapatan. Lepas arwah tak ada, saya berhenti berniaga dan kadang ikut saudara ambil upah memasak,” ujarnya.

Namun kini, cabaran hidupnya bertambah apabila penglihatan mata kiri semakin kabur dan tidak lagi boleh melihat walaupun memakai cermin mata.

“Saya tak pasti puncanya… mungkin saraf berkaitan dengan jari kaki kiri ini dan mungkin tak. Ada juga yang suruh saya mohon kad OKU, tapi saya tak mahu meminta-minta,” katanya.

Fenomena ‘Gadis Kristal’ yang menggemparkan negara pada 2006 menjadikan wajah dan namanya sering tumpuan orang ramai mahu melihat sendiri objek kristal yang keluar dari jari kakinya namun semua itu kini tinggal sejarah. Kisahnya pernah disiarkan Harian Metro.

“Saya cuma nak hidup tenang macam biasa,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top