14 Bahagian Bersatu Perak gesa Muhyiddin berundur jawatan Presiden

14 Bahagian Bersatu Perak gesa Muhyiddin berundur jawatan Presiden

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebanyak 14 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak hari ini menggesa Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan dan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Muhyiddin perlu berbesar hati dan mengambil tanggungjawab atas segala yang berlaku di dalam parti itu hari ini dengan bermuhasabah diri dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Zainol yang juga bekas Setiausaha Bersatu Perak berkata, keengganan Muhyiddin melepaskan kedudukannya dikhuatiri menyebabkan Bersatu akan ditolak di semua kawasan yang ditandingi pada PRU16 nanti.

Katanya, dalam usia 78 tahun dan sedang menghadapi tuduhan mahkamah yang masih belum selesai, perihal peribadi Muhyiddin akan menjadi liabiliti kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.

“Kami berharap agar Tan Sri Muhyiddin mendengar rintihan dan keluhan kami. Baru-baru ini kecoh dalam Dewan Rakyat hal anak menantu Tan Sri yang hilang, dijaja serata Dewan sehingga menjadi bahan sindiran di dalam dan di luar Dewan.

“Apa yang kami mahu pertahankan? Bagaimana kami perlu pertahankan? Tan Sri adalah Presiden Bersatu dan ini memberikan kesan dan imej yang tidak baik buat Bersatu dan PN selaku parti Melayu yang dominan buat masa ini.

“YB Tan Sri Presiden boleh menjadi cerminan pemimpin yang berjiwa besar dengan mengundurkan diri secara terhormat. Kami tidak mahu melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Najib Razak versi Bersatu.

“Tatkala seluruh negara tahu bahawa Najib Razak menjadi liabiliti, dia memilih untuk berdegil dan meletakkan kepercayaan kepada orang yang salah. Akhirnya akibat masalah peribadi yang dibawa, parti kalah dan ditolak rakyat pada siri pilihan raya lalu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zainol mengetuai sidang media itu yang dihadiri Jawatankuasa Bahagian dari 14 bahagian Bersatu Perak termasuk Ketua Bersatu dari 10 bahagian di Perak.

Bahagian itu merangkumi Tanjung Malim, Pasir Salak, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timor, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut, dan Gerik.

Zainol berkata, kemelut yang melanda Bersatu makin tegang sejak Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 6 September lalu apabila ramai kalangan Pimpinan Tertinggi dan ahli berjawatan seperti Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen digantung dan dipecat oleh Lembaga Disiplin yang sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

Menurutnya, ia termasuk tindakan yang disifatkan terdesak melalui pemecatan Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail secara terbuka melalui Lembaga Disiplin pada 14 Oktober lalu tanpa peluang merayu.

“Kami berasa amat terkilan kerana jika perkara ini boleh berlaku kepada Ketua Bahagian Ipoh Timor bermakna semua Ketua Bahagian yang lain boleh dilakukan sewenang-wenangnya seperti ini juga.

“Kami merasakan ini adalah satu urus tadbir yang sangat tidak berperlembagaan. Bagaimana dengan Ketua Bahagian lain ataupun ahli parti yang ingin menyuarakan pandangan selepas ini? Sudah pasti akan dipecat dan digantung tanpa justifikasi yang kukuh oleh Lembaga Disiplin dan keputusan itu akan dianggap muktamad,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top