Kuala Terengganu : Tradisi pesta air yang pernah menjadi kebanggaan rakyat Terengganu sejak era 1950-an bakal diangkat semula pada Festival Adu Kolek 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kampung Jeram Hulu, Kuala Nerus pada 12 dan 13 Jun depan.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, festival itu adalah kesinambungan kepada acara bersejarah yang pernah diadakan di Pengkalan Syahbandar, Kuala Terengganu sehingga sekitar 1980-an, yang menampilkan pelbagai aktiviti air berteraskan identiti dan warisan masyarakat setempat.
“Penganjuran kali ketiga festival berkenaan bertujuan mengembalikan nostalgia tradisi itu dalam suasana lebih segar serta menjadi platform memperkenalkan keunikan warisan itu kepada generasi baharu.
“Ia bukan sahaja berperanan menghidupkan kembali warisan pesta air malah menjadi medium memperkukuh identiti budaya serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, antara acara utama yang menjadi tumpuan ialah pertandingan Adu Kolek yang juga perlumbaan perahu tradisional dengan mempertandingkan tiga kategori iaitu antara daerah (tertutup), antara kampung (tertutup) dan terbuka.
“Perahu yang digunakan ialah perahu Kolek Lichang yang juga perahu ke laut tradisional tetapi telah diubah suai untuk perlumbaan. Kami juga menyasarkan sebanyak 600 peserta dari seluruh negeri untuk menyertai pertandingan yang diadakan di sungai Kampung Jeram Hulu, Kuala Nerus,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti tangkap itik, pukul bantal dan gelek drum yang menambah kemeriahan suasana festival.
“Kemuncak penganjuran adalah perebutan Piala Raja Kolek iaitu Piala Menteri Besar Terengganu yang akan menemukan juara bagi setiap kategori dalam persaingan akhir.
“Pertandingan itu dijangka menarik perhatian ramai dengan penyertaan pendayung terbaik yang bakal mempamerkan aksi penuh semangat dan kompetitif,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Iskandar berkata orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Festival Adu Kolek 2026, sekali gus bersama-sama menghayati keunikan warisan itu agar terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




