syafil.syazwan@hmetro.com.my
PENGANJURAN festival muzik berprestij, Sound Circus 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, baru-baru ini yang berlangsung gilang-gemilang melakar detik manis buat peminat muzik tanah air.
Sebagai sebahagian pengisian utama acara tahunan Art of Speed (AOS) 2026, festival ini berjaya meledakkan fenomena luar biasa yang menyatukan ribuan peminat pelbagai generasi.
Meskipun lautan pengunjungmembanjiri perkarangan MAEPS dimonopoli anak muda daripada generasi Z, namun semangat cintakan muzik rock dan indie mengatasi segala jurang usia.
Kehadiran Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin pada hari kedua membuktikan bahawa karya-karyanya tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Kemunculan Ella sebagai artis jemputan khas ketika persembahan kumpulan rock popular dari Indonesia, Cokelat menerusi segmen khas bertajuk Takhta Ratu Rock Nusantara menjadi kemuncak yang paling dinantikan.
Sebaik sahaja figura legenda itu melangkah ke atas pentas, sorakan gemuruh bergema merentasi segenap ruang padang MAEPS.
Bukan sahaja menyampaikan beberapa lagu hits yang menjadi siulan ramai, Ella turut mencipta kejutan manis apabila mendendangkan lagu popular Cokelat bertajuk Segitiga.
Lagu yang pernah meledak pada 2003 itu dinyanyikan bersama oleh ribuan pengunjung Gen Z dengan penuh bersemangat, sekali gus membuktikan bait lirik lagu ikonik berkenaan kekal segar merentasi dekad.
Sorakan padu dan persembahan bertenaga Ella bersama Cokelat membuktikan statusnya sebagai legenda rock yang tiada tandingan.
Paduan vokal mantap serta aksi pentas berkarismanya berjaya memukau penonton daripada pelbagai lapisan usia untuk menyanyi, melompat dan bergoyang bersama sepanjang kelangsungan persembahan.
Selain gandingan magis Ella dan Cokelat, Sound Circus 2026 turut menggamatkan suasana menerusi kepelbagaian genre yang ditawarkan sepanjang dua hari acara berlangsung.
Pentas festival bergegar dengan persembahan bertenaga kumpulan indie rock gergasi tanah air, Hujan, yang tampil membawa susunan lagu-lagu berhantu mereka sehingga membuatkan seluruh kawasan festival gamat dengan paduan suara peminat setia.
Kehadiran barisan artis terkemuka tempatan dan luar negara turut menyemarakkan kehangatan Sound Circus 2026.
Antara yang mencuri tumpuan pada hari pertama ialah persembahan syahdu penyanyi Indonesia, Nadin Amizah, selain aksi lincah daripada kumpulan Masdo, Iqbal M, The Jansen, Tenxi, Johny Pandora serta kehangatan muzik tegar menerusi slot 30 Years of Asian Hardcore.
Sementara itu, hari kedua pula menyaksikan kepelbagaian genre yang memukau minda penonton.
Antara kolaborasi dan persembahan menarik termasuklah Aizat Amdan bersama SOG, The S.I.G.I.T, Disagree, kehebatan segmen Legends x Renegades menerusi Jemson x Def Gab C, serta sajian retro Waktu Malaysia Berdisko yang menampilkan gandingan unik Jemput Dengar bersama Ratu Jazz Negara, Datuk Seri Sheila Majid, The Impatient Sisters dan Ainina Hasnul.
Tidak ketinggalan, gabungan Power Pop Yeh Yeh oleh Couple bersama Adnan Othman, persembahan dikir ‘custom’ oleh Issey & The Clique, serta variasi muzik reggae daripada Banyak Bunyi Republik & Cat Farish, Elyana, Zain dan Azan menambah kepelbagaian warna muzik pada edisi kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
