Hadir bawa senyuman

am@hmetro.com.my

Gelak tawa kanak-kanak bergema di Rumah Ronald McDonald, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kuala Lumpur apabila finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) meluangkan masa bermain, melukis dan menghias kek cawan bersama mereka.

Namun, di sebalik wajah ceria itu, tersimpan kisah perjuangan keluarga yang sudah berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, berulang-alik ke hospital demi menemani anak menjalani rawatan penyakit kronik.

Bagi Rohaya Mustafa, 39, Rumah Ronald McDonald bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi penyelamat ketika anak bongsunya disahkan menghidap leukemia limfoblastik akut (ALL) pada Oktober tahun lalu.

Selepas hampir sebulan berada di wad, doktor mencadangkan supaya keluarganya menetap di Rumah Ronald McDonald kerana keadaan anak memerlukan pemantauan rapi dan tidak sesuai untuk berulang-alik dari Seremban, Negeri Sembilan.

“Doktor tidak galakkan kami berulang alik dari Seremban kerana bimbang berlaku kecemasan. Doktor kemudiannya rujuk kami untuk tinggal di Rumah Ronald McDonald.

“Hampir sebulan kami menetap di sini sebelum berulang-alik mengikut jadual rawatan. Ada masanya tiga atau empat kali seminggu kami perlu datang semula ke hospital,” katanya.

Menurut Rohaya, cabaran paling besar bukan hanya melihat anak berusia lima tahun itu bertarung dengan penyakit, tetapi mengurus kehidupan keluarga yang berubah sepenuhnya.

Katanya, suaminya, Mahbob Samri, 39, menjadi satu-satunya pencari nafkah, malah pernah melakukan kerja sambilan termasuk mengambil tempahan kraftangan dan perkhidmatan e-hailing bagi menampung kos rawatan, perjalanan dan keperluan harian.

“Anak-anak yang lain pula berdikari di rumah. Suami keluar seawal pagi sebelum mereka ke sekolah. Mereka juga belajar menguruskan diri sendiri.

“Kos penginapan di luar jauh lebih tinggi, sedangkan di sini, semuanya lengkap seperti rumah sendiri. Kami boleh memasak untuk anak mengikut keperluan kerana dia perlu makan makanan yang dimasak sepenuhnya bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya.

“Saya juga percaya setiap ujian ada hikmahnya. Walaupun berat, kami belajar untuk kuat demi anak,” katanya lagi.

Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berkata, Rumah Ronald McDonald yang terletak di HCTM adalah rumah pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara yang sudah beroperasi lebih 27 tahun.

Mohd Nasri berkata, kemudahan itu diwujudkan sebagai rumah persinggahan sementara kepada keluarga yang menemani anak menerima rawatan jangka panjang di hospital.

“Ia adalah rumah kedua buat keluarga pesakit. Ada keluarga yang tinggal selama beberapa bulan, malah ada juga yang berulang-alik ke sini sehingga beberapa tahun mengikut tempoh rawatan anak.

“Sebelum mendapat rujukan ke Rumah Ronald McDonald, ada keluarga yang terpaksa tidur di surau, dalam kereta atau mencari penginapan yang mereka sendiri tidak mampu bayar,” katanya.

Menurut Mohd Nasri, selain menyediakan penginapan berhampiran hospital, RMHC Malaysia turut melaksanakan empat program utama membabitkan bantuan kepada kanak-kanak termasuk bilik terapi sensori, program pembedahan bibir sumbing, bantuan kelengkapan persekolahan serta bantuan kewangan perubatan.

Mohd Nasri berkata, program bersama finalis AJL40 itu diadakan bagi memberi keceriaan kepada pesakit kanak-kanak dan keluarga mereka, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan RMHC Malaysia.

“Kita mahu anak-anak ini keluar seketika daripada suasana hospital. Kehadiran artis memberi peluang kepada mereka bergembira, berinteraksi dan melupakan seketika rutin rawatan yang dilalui setiap hari,” katanya.

Sementara itu, finalis AJL40, Amir Masdi pula berkata, peluang bertemu pesakit kanak-kanak memberi peringatan bahawa masih ramai individu yang sedang melalui ujian lebih besar dalam kehidupan.

Melihat pesakit kanak-kanak ketawa bukan sahaja memberi kegembiraan kepadanya, malah membuka matanya untuk lebih menghargai kehidupan.

“Bila lihat keadaan kanak-kanak ini, saya sedar hidup kita sebenarnya tidak sesusah orang lain. Mereka berjuang melawan penyakit, tetapi masih mampu tersenyum dan mempunyai semangat yang luar biasa.

“Jika kanak-kanak pun boleh mempunyai semangat yang besar, kenapa kita yang sudah dewasa tidak boleh jadi lebih kuat? Bagi saya, menggembirakan mereka hari ini sebenarnya membuatkan saya lebih gembira,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top