Puluhan ribu wanita kini bergelar balu di Gaza

Puluhan ribu wanita kini bergelar balu di Gaza

GAZA – Di bawah bahang panas dalam sebuah khemah pelarian di utara Gaza, Mona al-Masri memulakan setiap hari dengan persoalan sama – bagaimana mendapatkan air dan makanan serta memastikan empat anaknya terus bertahan.

Mona merupakan antara puluhan ribu wanita di Gaza yang kini bergelar balu selepas suaminya, Mohammed terbunuh dalam serangan Israel pada September 2024.

Ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga sembilan tahun itu kini memikul sendirian tanggungjawab menjaga keluarganya dalam keadaan kehilangan tempat tinggal dan keselamatan.

Puluhan ribu wanita kini bergelar balu di Gaza

Mona menghabiskan setiap hari berusaha menyediakan keperluan untuk anak-anaknya. Foto Al Jazeera

Setiap pagi, Mona perlu mencari air, menyediakan makanan dan berusaha melindungi anak-anaknya dalam kehidupan yang sama sekali berbeza berbanding sebelum perang bermula pada 2023.

“Tiada kehidupan normal di dalam khemah. Setiap hari bermula dengan persoalan sama, bagaimana kami hendak mendapatkan keperluan dan bagaimana kami mahu melalui satu lagi hari dalam keadaan yang begitu meletihkan?” katanya.

Menurut Mona, perang bukan sahaja meragut rumah mereka tetapi turut memusnahkan rasa selamat dan kestabilan sehingga perkara paling asas sekalipun memerlukan usaha yang besar.

Lebih 28,000 kehilangan suami

Data Kementerian Pembangunan Sosial Gaza menunjukkan jumlah balu di wilayah itu kini melebihi 50,000 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 28,224 wanita kehilangan suami akibat perang, manakala lebih 22,500 lagi sudah didaftarkan sebagai balu sebelum konflik tercetus.

Jurucakap kementerian, Aziza al-Kahlout berkata, jumlah sebenar dijangka lebih tinggi kerana masih terdapat balu yang belum didaftarkan.

Penduduk Palestin yang dipindahkan berjalan melewati runtuhan bangunan dan ratusan penempatan khemah di Khan Yunis, selatan Gaza. Foto AFP

Penduduk Palestin yang dipindahkan berjalan melewati runtuhan bangunan dan ratusan penempatan khemah di Khan Yunis, selatan Gaza. Foto AFP

Menurutnya, perang menyebabkan golongan wanita berkenaan terpaksa menyara keluarga tanpa pasangan ketika kemusnahan meluas dan keadaan asas untuk menjalani kehidupan bermaruah semakin runtuh.

Situasi itu memerlukan program berkesan termasuk peluang pekerjaan, pemerkasaan ekonomi dan usaha membantu mereka keluar daripada kemiskinan.

Namun, bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi.

Al-Kahlout berkata, golongan balu turut memerlukan sokongan psikologi dan sosial, penjagaan kesihatan serta bantuan perundangan berkaitan penjagaan anak, hak kewangan dan pewarisan.

Mereka juga memerlukan bantuan kewangan berkala, bantuan kecemasan, pendidikan, latihan kemahiran serta sokongan untuk menjalankan perniagaan kecil dan keluarga.

Terpaksa sembunyikan kesedihan

Kehilangan suami ketika perang bukan sahaja meragut pasangan hidup, malah berlaku serentak dengan kehilangan rumah, perpindahan dan kemerosotan keadaan hidup.

Pakar psikologi, Aseel Abu Shaweesh berkata, kehilangan pasangan ketika perang merupakan pengalaman traumatik yang memberi kesan psikologi dan sosial mendalam terhadap wanita serta anak-anak mereka.

“Seorang balu di Gaza berdepan kesedihan kehilangan suami, tanggungjawab menyara keluarga dan menjaga anak-anak dalam persekitaran yang dipenuhi ketakutan serta ketidakstabilan,” katanya.

Seorang kanak-kanak Palestin berjalan melewati runtuhan bangunan yang musnah di kem pelarian Jabalia, utara Gaza akibat serangan Israel. Foto AFP

Seorang kanak-kanak Palestin berjalan melewati runtuhan bangunan yang musnah di kem pelarian Jabalia, utara Gaza akibat serangan Israel. Foto AFP

Menurutnya, ramai wanita terpaksa menyembunyikan kesedihan dan tekanan emosi demi kelihatan kuat di hadapan anak-anak.

Tekanan harian yang berterusan serta ketiadaan ruang untuk meluahkan kesedihan pula meningkatkan tahap kebimbangan dan keletihan psikologi.

Kanak-kanak yang kehilangan bapa turut menerima kesan mendalam terutama apabila tragedi itu disertai kehilangan tempat tinggal dan kemerosotan keadaan kehidupan.

Mereka boleh mengalami ketakutan berpanjangan, gangguan tidur serta perubahan tingkah laku akibat pengalaman traumatik yang dilalui.-Agensi

 

Scroll to Top