SHAH ALAM – Anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FGV Holdings Berhad (FGV) melantik sebuah firma audit bebas bagi menjalankan audit forensik berhubung perkara-perkara khusus melibatkan sebuah entiti mempunyai hubungan korporat dengan Kumpulan Felda.
Felda memaklumkan, pada masa sama proses pelantikan firma audit bebas sedang giat dijalankan ke atas beberapa anak syarikat lain.
Menurutnya, pelantikan itu dilaksanakan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Khas Hala Tuju Felda 2030.
“Langkah ini dirangka khusus untuk menambah baik tahap tadbir urus Kumpulan Felda demi kelestarian agensi tersebut.
“Felda akan terus meneliti keperluan untuk melantik firma audit bebas bagi melaksanakan pengauditan forensik secara profesional dan menyeluruh ke atas Felda serta semua organisasi di bawah kumpulan itu, ” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Felda disyor untuk melantik pasukan forensik audit sendiri untuk melaksanakan keraja-kerja audit berhubung isu berkaitan tadbir urus dan salah laku dalam agensi itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pasukan forensik yang dilantik mempunyai kewibawaan untuk melaksanakan tindakan tersebut, sekali gus dapat membantu SPRM menjalankan penyiasatan.
Sebagai rekod, inisiatif pengauditan forensik terhadap Felda telah mula dilaksanakan sejak 2019.
Felda memaklumkan, sebelum ini, agensi itu melantik Tetuan Ernst & Young (EY), manakala dapatan laporan audit berkenaan telah dibentangkan di Parlimen melalui Kertas Putih Felda pada 2020.
Tambahnya, pelaksanaan audit terbaharu itu mencerminkan komitmen berterusan pengurusan Kumpulan Felda dalam memperkukuh aspek tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan di semua peringkat operasi.
“Felda kekal tegas dengan pendiriannya untuk memastikan kepentingan organisasi serta kesejahteraan peneroka sentiasa dilindungi dan terpelihara,” ujarnya.
