Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia, SOL Pictures Sdn. Bhd. bersama pengedar Empire Film Solution dengan kerjasama TGV Cinemas akan menayangkan semula filem Gayong bermula 28 Ogos hingga 17 September ini.
Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, tayangan semula ini bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dengan mengetengahkan sebuah karya yang sarat dengan mesej perpaduan serta jati diri bangsa.
“Ketika ditayangkan sebelum ini, Gayong mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton. Namun, tidak dinafikan masih ramai yang terlepas untuk menontonnya dan kini kami membuka semula peluang kepada mereka yang mahu menonton di pawagam.
Lagipun kami merasakan filem ini sesuai untuk ditayangkan semula sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia memandangkan inti pati utama filem ini berkisar kepada seorang insan yang dikenali memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air daripada kerakusan penjajah,” katanya.
Filem arahan Faisal Ishak ini diinspirasikan daripada kisah pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR). Ia pernah ditayangkan di pawagam pada 5 Mei lalu dengan menampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian.
Untuk tayangan semula kali ini, penonton bakal menyaksikan versi lebih eksklusif iaitu gabungan ‘director’s cut’ dengan ulasan pengkritik filem.
“Selain itu, kami juga ada membuat penambahan yang cukup eksklusif klip-klip adegan babak dalam Gayong 2 yang dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.
Filem ini akan ditayangkan di pawagam TGV Cinemas di seluruh Malaysia, malah harga tiket yang ditawarkan juga sangat berpatutan iaitu hanya RM10 sahaja,” jelas Khairul.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO serta seluruh masyarakat tanpa mengira fahaman politik untuk menonton filem ini kerana mesejnya mampu menyuntik semangat perpaduan demi memartabatkan bangsa, agama dan negara.