Masih hangat di pawagam tempatan, filem aksi seni mempertahankan diri ‘Gayong’ terbitan SOL Pictures kini mencipta satu lagi kejayaan apabila bakal ditayangkan di 33 buah negara di Amerika Latin menerusi platform penstriman (OTT).
Menurut penerbitnya, Eric Ong, minat daripada pasaran antarabangsa bermula apabila wakil pemasaran syarikat itu menghadiri Festival Filem Cannes sekaligus berjaya menarik perhatian pengedar dari rantau tersebut.
“Wakil kami dari Movie Move berjaya mendapatkan pembeli dari Amerika Latin yang sangat berminat dengan filem yang menampilkan elemen seni mempertahankan diri Asia, termasuk silat,” katanya.

Filem ‘Gayong’ yang diinspirasikan daripada kisah sebenar pengasas seni bela diri Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan menampilkan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta pelakon aksi Indonesia terkenal, Yayan Ruhian.
Menurut Eric, walaupun kontrak perjanjian masih dalam proses pemuktamadan, pihaknya dimaklumkan tayangan di peringkat antarabangsa hanya akan melibatkan platform penstriman dan bukan tayangan di pawagam.
“Setakat ini, tarikh tayangan masih belum dimuktamadkan. Namun, saya tetap berbangga kerana ‘Gayong’ berjaya menembusi pasaran luar dan membuktikan bahawa filem tempatan serta seni silat warisan kita mempunyai nilai komersial dan artistik yang tinggi di mata dunia,” jelasnya.

Filem ‘Gayong’ kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei sejak 8 Mei lalu, manakala tayangan di Singapura dijadualkan bermula pada 22 Mei 2025.




