Filem Orang Perang bersih dari potongan, dapat klasifikasi 18

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Walaupun bersih tanpa sebarang potongan, filem genre epik aksi, Orang Perang yang mengangkat kisah keberanian masyarakat orang asli dalam mempertahankan tanah air mendapat klasifikasi 18 dari Lembaga Penapis Filem (LPF).

Pengarahnya, Hashim Rejab berkata, pihaknya ada menghantar surat kepada pihak LPF untuk berbincang mengenai klasifikasi 18 yang diputuskan pada filem itu tetapi tidak berjaya.

“Jasa pihak LPF besar pada filem ini

kerana tiada sebarang potongan dari segi babak tapi filem ini dapat klasifikasi 18 di mana ia hanya boleh ditonton mereka berusia 18 tahun ke atas saja.

“Kita juga ada menghantar surat dan email untuk minta rundingan (perbincangan) tapi pihak LPF tidak terima dan mereka beritahu klasifikasi 18 kerana mengikut undang-undang baharu.

“Kalau orang tanya kenapa filem epik ini mendapat klasifikasi 18, itu kena tanya pihak LPF,” katanya ketika ditemui pada majlis pekancaran trailer, poster dan runut bunyi filem Orang Perang di sini, semalam.

Mengulas lanjut, kata Hashim lagi, meskipun dapat klasifikasi 18, filem itu ada sedikit kelonggaran untuk penonton di bawah umur 18 tahun tetapi dengan pengawasan dari ibu bapa.

“Pada pendapat saya, filem ini boleh ditonton oleh penonton bawah umur 18 tahun, contohnya, jika nak bawa anak atau adik umur 15 dan 16 tahun untuk tonton filem ini dengan pengawasan orang dewasa.

“Tapi saya tidak tahu sama ada budak bawah umur dibenarkan untuk menontonnya,” katanya.

Sementara itu, pelakon Fauzi Nawawi yang turut terbabit dalam filem itu berharap agar pihak terbabit dapat mempertimbangkan filem Orang Perang dapat klasifikasi sekurang-kurangnya 13.

“Kalau klasifikasi 18 itu macam kejam sangat sebab ada penonton yang nak bawa anak-anak umur 12 tahun dan 13 tahun untuk menonton filem ini.

“Macam mana kita nak memupuk semangat kenegaraan kalau filem ini dapat klasifikasi 18 kerana kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya kerana kalau dah jadi buluh tidak ada gunanya lagi?

“Saya sendiri tertarik untuk berlakon dalam filem ini kerana jalan cerita dan skripnya bagus dan saya tahu filem ini akan dikenang dan disanjung oleh generasi muda selepas mereka menontonnya nanti,” katanya.

Filem Orang Perang menampilkan barisan pelakon seperti Niezam Zaidi, Ammar Alfian, Syazwan Zulkifly, Josiah Hogan, Adam Corrie, Fauzi Nawawi dan ramai lagi bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air pada 1 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top