Kuala Lumpur: Filem Khadam yang ditayangkan mulai Khamis lalu sudah meraih kutipan RM1.2 juta sekali gus permulaan memberangsangkan apabila mendominasi carta panggung wayang di seluruh negara.
Sambutan luar biasa itu membuktikan penonton tempatan terus menghargai naskhah seram yang segar dan berkualiti.
Malah, gelombang sokongan yang diterima memperlihatkan perubahan ketara apabila karya tempatan bukan pilihan alternatif, sebaliknya mampu memberi saingan sengit kepada filem antarabangsa yang ditayangkan serentak.
Sejak hari pertama tayangan, media sosial dibanjiri pelbagai reaksi, ulasan serta pujian daripada netizen dan penggiat industri seni yang menyifatkan Khadam arahan Shamyl Othman sebagai penanda aras baharu bagi filem seram tempatan.
Lebih membanggakan, Khadam turut menerima pengiktirafan daripada pengarah dan pelakon veteran tanah air.
Pengarah terkenal, Erma Fatima memberikan pujian dengan menyifatkan filem ini sebagai naskhah yang cukup rasa.
Sentimen sama turut dikongsi aktres, Datin Sofea Jane yang meluahkan rasa kagum terhadap kualiti skrip filem berkenaan.
“Rindu terhadap penulisan yang baik terubat dengan Khadam,” katanya.
Sementara itu, penerbit filem berkenaan, Red Communications menzahirkan rasa syukur atas penghargaan dan sokongan rakyat Malaysia yang menjadi tunjang utama kepada kejayaan kutipan RM1.2 juta itu.
Khadam mengisahkan Melur iaitu ibu bisu yang terpaksa mewarisi entiti mistik atau saka daripada ibunya.
Demi melindungi anak-anak, Melur perlu berdepan entiti berkenaan yang berubah menjadi versi dirinya yang lebih sempurna, namun menuntut pengorbanan amat besar.
Filem Khadam dibarisi pelakon Datuk Remy Ishak, Aghniny Haque, Siti Khadijah Halim, Karl El, Zarra Zhaff serta penampilan khas Jun Lojong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




