Los Angeles: Filem arahan pengarah Tunisia, Kouther Ben Hania, The Voice of Hind Rajab mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai antara lima judul yang bersaing dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik sempena Anugerah Akademi (Oscar) ke-98.
Memetik laporan portal antarabangsa The New Arab, The Voice of Hind Rajab akan bersaing dengan empat filem lain iaitu The Secret Agent, It Was Just an Accident, Sentimental Value dan Sirât.
Pencalonan itu diumumkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences di sini, semalam.
Majlis Anugerah Akademi dijadualkan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pada Mac depan.
Pencalonan berkenaan turut menjadikan Ben Hania sebagai wanita Arab pertama menerima tiga pencalonan Anugerah Akademi.
Sebelum ini, beliau dicalonkan menerusi The Man Who Sold His Skin pada 2021 dan dokumentari Four Daughters pada 2024.
Filem The Voice of Hind Rajab pernah meraih Anugerah Silver Lion – Grand Jury Prize di Festival Filem Venice, selain menerima tepukan gemuruh berpanjangan, selain turut dicalonkan bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Golden Globe.
Ketika menerima Anugerah Silver Lion, Ben Hania berkata, suara Hind melambangkan jeritan seluruh Gaza yang didengari dunia, namun tidak mendapat respons sewajarnya.
The Voice of Hind Rajab mengangkat kisah jam-jam terakhir Hind Rajab, kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terbunuh akibat serangan tentera Israel di Gaza pada Januari 2024.
Filem berkenaan dibina berdasarkan rakaman audio sebenar panggilan telefon Hind kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, ketika petugas pusat kecemasan berusaha menyelamatkannya dalam situasi tembakan berterusan di kawasan terbabit.
Hind adalah satu-satunya mangsa yang terselamat daripada serangan terhadap kenderaan keluarganya ketika mereka cuba melarikan diri dari Bandar Gaza. Kanak-kanak itu kekal berhubung melalui telefon selama beberapa jam sambil merayu untuk diselamatkan sebelum talian terputus.
Bagaimanapun, Hind, dua petugas paramedik yang dihantar untuk menyelamatkannya serta enam ahli keluarganya dilaporkan terbunuh dalam serangan berkenaan.
Kes pembunuhan Hind mencetuskan kemarahan antarabangsa serta pelbagai reaksi budaya, termasuk lagu protes bertajuk Hind’s Hall oleh penyanyi Amerika, Macklemore. Yayasan Hind Rajab Foundation turut ditubuhkan bagi memperingati mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




