
Aksi memukau skuad negara dalam perlawanan pertama peringkat akhir acara berpasukan antara Malaysia menentang Thailand pada Kejohanan ASTAF Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa pada Ahad. – FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
MALAYSIA bermula dengan langkah kiri apabila ketinggalan satu mata di belakang Thailand dalam aksi final acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.
Trio negara, Mohammad Syahir Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias sebagai apit kanan dan Amirul Zazwan Amir selaku apit kiri yang turun sebagai regu pertama tewas 1-2 dalam aksi yang penuh dramatik dan mendebarkan.
Lima kali servis Syahir tidak menjadi dan pujian buat Azlan yang tetap meneruskan aksi biarpun menahan kesakitan akibat kecederaan tangan kiri akibat tersalah ‘landing’ ketika membuat rejaman.
Di sebalik situasi itu membuka ruang buat barisan pemain Thailand, Jakkri Thinbangbon yang bertindak sebagai tekong, Sutthikiart Panseankaew (perejam) dan Wuttinun Kamsanor (pengumpan) untuk menang set pertama 15-11.
Enggan gentar dengan saingan skuad Gajah Perang, trio negara cuba bangkit mengubah strategi permainan termasuk memasukkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican bagi menggantikan Syahir.
Selepas beberapa detik berada di tepi gelanggang, Syahir kemudian dimasukkan semula dan ia ternyata berbaloi apabila pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu kembali mendapatkan rentak permainannya.

Malaysia ketinggalan 0-1 kepada Thailand dalam final regu berpasukan Sepak Takraw Piala Asia di Stadium Titiwangsa selepas regu pertama negara tewas 1-2 dalam perlawanan sengit. – FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Trio negara mengikat kedudukan 1-1 menerusi kemenangan 15-12 pada set kedua untuk mengheret permainan ke pertarungan seterusnya.
Debaran terus menyelubungi venue keramat itu apabila kedua-dua pasukan saling bertukar mata, namun Thailand mengesahkan kemenangan 2-1 (15-17).
Selepas ini, trio negara yang dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam bertindak sebagai tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) turun sebagai regu kedua.
Mereka akan berdepan Sittipong Kamchan selaku tekong, Tanaphon Sapyen (apit kanan) dan Sirisak Anuloon (apit kiri).