Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal melancarkan projek perintis drama ‘super telefilem’ yang memberi peluang kepada penggiat filem veteran untuk kembali bekerja dengan bayaran setimpal.
Inisiatif ini diumumkan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, sebagai langkah menangani isu kebajikan dan bayaran rendah yang sering dihadapi golongan berpengalaman dalam industri.
Menurut Hans, projek yang dibiayai menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) itu akan menampilkan kru dan barisan pelakon dalam kalangan penggiat veteran sahaja, termasuk jurukamera, juruaudio, penyunting, penulis skrip dan pengarah.
“Penerbit yang menerima dana wajib membayar kru dan pelakon mengikut kadar yang bersesuaian dengan pengalaman mereka. Kalau pelakon veteran pegang watak utama, bayar ikut kadar pelakon utama. Ini bukan projek untuk mengaut untung,” katanya.
Tambah Hans, penerbit perlu memulangkan 40 peratus hasil jualan kepada FINAS bagi memastikan kesinambungan projek ini.
Hans yakin stesen penyiaran akan terbuka untuk membeli drama berkenaan kerana pelakon veteran masih mempunyai daya tarikan tersendiri.
“Saya percaya drama ini akan dapat sambutan dan membuka mata banyak pihak. Kita akan pastikan hanya yang benar-benar layak dan berstatus veteran terlibat,” katanya kepada XTRA.

Hans berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra FINAS bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Acara itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, pengarang dan wartawan hiburan dari pelbagai organisasi media.
Sementara itu, Azmir menasihatkan penerbit muda agar menyertai persatuan industri seperti Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) untuk mendapatkan bimbingan dalam aspek pemasaran dan pengedaran filem.
“Ramai penerbit baharu tahu hasilkan filem, tetapi kurang arif tentang strategi tayangan dan pasaran. Bila ada persatuan, mereka ada tempat untuk mengadu dan mendapatkan panduan,” jelasnya.
Hans kembali menerajui FINAS sejak 26 Mac lalu, selepas pernah dilantik sebagai Pengerusi pada 2019. Hans berharap pendekatan baharu ini akan membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni veteran dan mengukuhkan ekosistem industri filem tanah air.




