norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) giat menyusun langkah memperkukuh pembangunan industri kreatif negara menerusi jalinan kerjasama dengan universiti tempatan.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, seiring dengan kemajuan teknologi yang terarah kepada Kecerdasan Buatan atau AI memerlukan kerjasama penggiat industri bersama golongan belia.
“Sebagaimana kita tahu, industri kreatif negara ketika ini sudah mula terarah kepada AI yang boleh diguna pada animasi serta teknologi masa depan seperti Extended Reality (XR), Virtual Reality (VR) dan Visual Effects (VFX).
“Jadi, dalam jurusan pendidikan di MMU menerusi Cinematic Art dan Creative Multimedia didapati memberi peluang kepada penggiat seni untuk belajar serta berlatih kemahiran ilmu disediakan,” katanya.
Terdahulu, FINAS memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia Malaysia (MMU) khusus pada bidang animasi serta teknologi masa depan di Cyberjaya, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MMU Profesor Datuk Mazliham Mohd Su’ud dan CEO FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Menurut Hans, kerjasama dijalin sangat mencerminkan pendekatan bersepadu antara industri kreatif dan akademik dalam melahirkan bakat untuk memenuhi keperluan industri global dengan dipacu teknologi digital.
“Kerjasama antara FINAS dan MMU ini adalah satu inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif negara.
“Apatah lagi, FINAS sangat komited untuk memperluas sinergi antara badan kerajaan dan institusi pendidikan moden bagi memacu pembangunan industri.
“Kita (FINAS) mahu melihat industri ini terus berkembang pesat selari dengan peredaran teknologi global. Oleh itu, kita sentiasa cuba sediakan input seperti akses kepada rangkaian profesional dan peluang dalam sektor kreatif, manakala MMU menyumbang kepakaran akademik, penyelidikan serta fasiliti teknologi,” katanya.
Sementara itu, Mazliham berkata, pihaknya optimis melalui sinergi kerjasama strategik dengan FINAS dalam usaha menghasilkan lebih banyak karya berkualiti tinggi daripada idea penuntut universiti berkenaan.
“Kami berharap dengan kerjasama bersama FINAS ini, kita akan dapat menghasilkan lebih banyak filem yang mengiktiraf bakat seni mahasiswa MMU bersama pemain industri lain yang berjaya dibawa ke peringkat antarabangsa.
“Di MMU, kami sentiasa memberikan penekanan utama kepada elemen pembelajaran praktikal atau ‘hands-on’ dalam setiap program yang ditawarkan kepada mahasiswa berminat.
“Bahkan, seiring fokus utama kami adalah untuk memastikan mahasiswa bukan sekadar memiliki teori, malah benar-benar bersedia untuk memacu kejayaan sebaiknya bila mereka melangkah ke dalam industri kreatif,” katanya.
Katanya, sehingga kini jurusan Cinematic Art dan Creative Multimedia memiliki kira-kira 400 mahasiswa yang berminat membina karier di dalam industri kreatif pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




