Firdaus Karim teruja jika diganding bersama Faizal dan Azhan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Firdaus Karim menyifatkan dirinya masih ‘junior’ jika digandingkan dengan Faizal Hussein dan Azhan Rani bagi melakonkan watak penunggang agama.

Firdaus, 44, yang menjadi perhatian penonton menerusi drama Doa Yang Terlindung di TV3 sebagai watak Ustaz Irfan berkata, dia bagaimanapun sedia mempertimbangkan tawaran berkenaan.

“Saya masih ‘junior’ lah kalau nak dibandingkan dengan abang Azhan dan abang Faizal. Saya rasa belum layak lagi saya untuk duduk sebaris dengan mereka.

“Tetapi, insya-Allah kalau ramai yang mahukannya (gabungan bertiga). Kita masih ada lagi peluang untuk ‘explore’ (terokai). Tidak dinafikan juga, insya-Allah kalau suatu hari nanti masih ada watak sebegini (penunggang agama)

“Mungkin, kita akan cari ruang untuk bermain dengan cara yang lebih lain. Cuma, penonton boleh tahan atau tidak untuk sakit hati, bengang bila ada tiga orang yang begini (penunggang agama) disatukan dalam drama.

“Sebab, kalau dah kata tengok satu drama pun iaitu mana-mana drama dalam tiga watak ini (Ustaz Irfan, Ustaz Hamadi dan Walid), penonton rasa geram, sakit jantung, maka sanggup ke kita nak mengharungi kesulitan perasaan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Firdaus berkata, dia sentiasa bersedia merebut peluang sekiranya ditawarkan untuk bekerjasama dengan pelakon senior seperti Azhan dan Faizal kerana banyak boleh dipelajari.

“Saya okay kalau dapat berganding dengan abang Azhan dan abang Faizal sebab banyak benda yang saya perlu belajar lagi dengan pemain-pemain senior. Jadi bila ada peluang belajar, kita akan rebutlah.

“Namun, ia masih lagi atas budi bicara stesen televisyen. Kalau dirasakan benda ini sanggup dibuat dan penonton juga tidak merasa menzalimi diri sendiri dengan menonton tiga watak (Ustaz Irfan, Ustaz Hamadi dan Walid) ini, kita boleh usahakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top