PRN Melaka: PAS sahkan perbincangan PN-BN sudah diadakan sejak tiga hari lalu

am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: PAS mengesahkan perbincangan tidak rasmi antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sudah dimulakan sejak tiga hari lalu bagi membentuk persefahaman menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata perbincangan membabitkan beberapa pemimpin parti itu akan diteruskan sehingga kata putus dicapai berhubung bentuk kerjasama yang bakal dijalin antara kedua-dua gabungan politik itu.

“Perbincangan dengan BN sudah dimulakan dan kita sudah melantik urus setia untuk meneruskan perbincangan ini.

“Pilihan raya kita belum tahu bila, tetapi kita sudah (mula) berbincang untuk kerjasama,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal PAS Melaka di Hotel Mudzaffar di sini malam ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail.

Mengulas perkembangan rundingan berkenaan, Abdul Hadi berkata, ia berjalan secara positif dengan pihaknya mengambil semangat daripada perkembangan kerjasama politik yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, sangat positif. Kita mengambil semangat daripada kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan sejauh mana bentuk atau tahap kerjasama antara PN dan BN yang boleh dicapai di Melaka.

“Itu masih peringkat awal, namun di peringkat awal ini pun sudah menandakan prestasi yang sangat baik,” katanya.

Ditanya mengenai strategi PAS di Melaka susulan kenyataan bahawa parti itu berperanan sebagai ‘penjaga gol’ di Johor dan penyerang di Negeri Sembilan, Abdul Hadi berseloroh bahawa ‘perlawanan’ politik di Melaka masih belum bermula.

“Wisel permainan belum ditiupkan,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan terdapat perbincangan awal dan umum berhubung kerjasama gabungan parti itu dengan BN bagi berdepan PRN Melaka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top