am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengumuman rasmi berhubung cuti peristiwa sekiranya Selangor menjadi juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan dibuat malam esok.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu menerusi akaun media sosial miliknya susulan tersebarnya infografik palsu yang mendakwa esok adalah cuti umum.
“Insya-Allah segala pengumuman rasmi berkenaan ini akan dibuat malam esok (Isnin, 24 Ogos bermula jam 8 malam) semasa majlis penutup SUKMA 2026.
“Segala sebaran atau pengumuman yang berlaku sebelumnya adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Harap maklum dan mohon bersabar,” katanya ringkas.
Infografik berkenaan dikatakan tersebar dan mencetuskan tanda tanya terutamanya warga Selangor berhubung kesahihannya.
Terdahulu, media melaporkan, Selangor akan mempertimbangkan untuk mengumumkan cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri berjaya menjadi juara keseluruhan temasya SUKMA Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, perkara itu akan dimuktamadkan selepas keputusan kutipan pingat keseluruhan diperoleh, malam esok.
Katanya, cuti berkenaan akan usulkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk dipertimbangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
