'Fitnah untuk cemar imej baik PM'

mohd_iskandar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Dakwaan mengaitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melantik ejen untuk mengambil komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disifatkan sebagai fitnah bagi mencemar imej baik Perdana Menteri.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menegaskan tuduhan bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani kes 1MDB bersama Goldman Sachs juga adalah tidak berasas.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan dilihat sebagai strategi ‘character assasination’ terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terbukti seorang pemimpin dihormati dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Saingan politik beliau sedang cuba merosakkan imej ini dengan tohmahan yang bertubi-tubi kerana mereka tahu mereka tidak mempunyai calon Perdana Menteri yang lain.

“Mereka tidak ada calon Perdana Menteri yang prihatin rakyat, bersih, berwibawa dan berintegriti seperti Tan Sri Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, Wan Saiful berkata, beliau sebagai ahli Biro Politik dan Jawatankuasa Pengurusan BERSATU, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

“Tidak ada ejen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam BERSATU.

“Parti ini ditubuh untuk memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.

“Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera, semua yang bersalah menerima keadilan dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan pejabat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor membuat laporan polis berhubung dakwaan RM500 juta dibayar kepada parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu, wang terbabit didakwa sebagai komisen untuk membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs berkaitan kes 1MDB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Comment