Fizz Fairuz teringin hantar anak ke Maahad Tahfiz Turath

Fizz Fairuz teringin hantar anak ke Maahad Tahfiz Turath

Kuala Lumpur: “Kalau ada rezeki, memang saya teringin hantar anak ke sana. Apabila melihat pencapaian sebahagian besar daripada mereka, saya berasa sebak,” kata pelakon dan usahawan, Datuk Fizz Fairuz.

Fizz berkata demikian ketika mengulas mengenai pencapaian Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan 25 calon memperoleh keputusan semua A.

Katanya, apa yang dibuktikan oleh mereka begitu besar maknanya kepada semua pihak memandangkan MTTNP adalah institusi di bawah Yayasan Pahang baharu sahaja membuka pusat peperiksaan tahun lalu.

Kesemua calon layak memiliki sijil, manakala 25 daripada 48 calon memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

“Sebagai salah seorang rakyat Pahang, saya bangga dengan keputusan yang diperoleh kesemua pelajar yang menduduki SPM tahun lalu.

“Apabila mereka meletakkan Al-Quran di dalam dada, mereka bukan sahaja meletakkan agama di hadapan, tetapi ilmu akademik juga ikut cemerlang bersama.

“Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh berjaya selagi menjadikan Al-Quran sebagai pedoman. Saya terharu dan berharap pelajar tahun ini akan meneruskan kecemerlangan dalam SPM,” katanya.

MTTNP tidak hanya menekankan hafazan 30 juzuk Al-Quran semata-mata, sebaliknya setiap pelajar turut aktif dalam bidang kokurikulum seperti yang digariskan.

Mereka turut diberikan penekanan tentang modal insan bagi menyeimbangkan antara aspek duniawi dan ukhrawi seperti yang diharapkan oleh sebahagian besar ibu bapa.

“Inilah generasi yang akan menjadi penyambung kepimpinan negara. Semoga mereka dapat mengikut jejak langkah yang telah dilakar oleh pelajar cemerlang hari ini,” kata suami kepada pelakon Almy Nadia ini lagi.

Untuk rekod, Fizz dan Almy dikurniakan lima cahaya mata termasuk mempunyai seorang anak angkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top